SEBAHAGIAN pengunjung di PBKL mengunjungi gerai buku Komik Siri Doreamon selepas majlis pelancaran Komik Siri Doreamon di Pesta Buku Kuala Lumpur (PBKL) 2019, PWTC. -Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


RANGKAIAN kedai buku, Popular Book Co (M) Sdn Bhd (Popular) melancarkan siri komik Doraemon terbaharu yang menampilkan 17 jilid buku dengan tema dan judul berbeza.

Komik yang dihasilkan oleh syarikat penerbitan komik, Kadokawa Gempak Starz itu menyaksikan Popular menjadi penjual tunggal bagi siri ikonik terbabit di pasaran tempatan.

Penolong Pengurus Pembarangan Bahagian Melayu Popular, Azrina Azmi berkata, siri komik dalam versi Bahasa Melayu itu belum pernah diterbitkan di mana-mana pasaran dan ia dihasilkan secara eksklusif oleh Kadokawa Gempak Starz untuk kedai buku Popular.

Menurutnya, sebanyak 10,000 naskah buku akan dihasilkan bagi setiap jilid dan dipasarkan secara berperingkat di 102 cawangan Popular dan secara dalam talian.

“Sambutan bagi empat jilid terawal komik ini amat memberangsangkan di mana ia habis dijual dalam tempoh dua bulan sejak berada di pasaran pada November tahun lalu dan kini diulang cetak untuk kali kedua,” katanya kepada Bisnes Metro ketika majlis pelancaran komik Doraemon terbaharu di Kuala Lumpur, hari ini.

Siri komik Doraemon terbaharu ini menampilkan 17 tema dan judul yang berbeza seperti Koleksi Cinta, Koleksi Dinosaur, Koleksi Dulu-Dulu, Koleksi Penuh Emosi, Koleksi Pecah Perut, Koleksi Seram Sejuk, Koleksi Lawak Sinis, Koleksi Giant Si Suara Sumbang, Koleksi Papa dan Mama serta Koleksi Kisah Panik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 6:16 PM