Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


KUALA Lumpur: Persekitaran teknologi tanpa tunai dilihat mampu membantu untuk mengurangkan gejala rasuah di Malaysia.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sistem tanpa tunai adalah antara instrumen yang penting untuk dimanfaatkan bagi mengurangkan aktiviti rasuah.

“Saya yakin kegiatan ini berlaku disebabkan penggunaan wang tunai, dan dengan menggunakan teknologi tanpa tunai ia boleh membantu mengurangkan rasuah.

“Dengan teknologi berkenaan, ia dianggap sebagai langkah ke hadapan yang mana saya fikir ia adalah penting kpada setiap negara khususnya bagi Malaysia,” katanya pada perasmian WeChat Pay MY, di sini, hari ini.

Guan Eng berkata, penggunaan wang tunai di Malaysia adalah tinggi meskipun terdapat penurunan.

Katanya, berdasarkan data Bank Negara Malaysia (BNM) penggerakan penggunaan wang tunai di negara ini bernilai RM106 bilion pada 2018 atau kira-kira 7.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Ia adalah lebih rendah berbanding 2017 dan 2016 iaitu masing-masing 7.7 peratus dan 7.9 peratus.


MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng (kiri) membeli barang dengan mengimbas kod QR pada telefon bimbit ketika majlis Pelancaran WeChat Pay My di Grand Haytt Hotel. Turut bersama Naib Presiden Kumpulan Tencent International Business (kanan). FOTO Rosela Ismail

“Penurunan itu adalah disebabkan penggunaan aplikasi mudah alih dan pembayaran atas talian yang semakin meluas di Malaysia,” katanya.

Berdasarkan laporan Nielsen pada Januari menunjukkan 67 peratus pengguna Malaysia menggunakan pembayaran tanpa tunai menerusi kad debit dan perbankan atas talian.

Mengulas mengenai penggunaan wang kertas RM60 di Malaysia, Guan Eng berkata, kerajaan tidak akan menggantikan wang kertas RM50 sedia ada seperti yang tular di media sosial.

Katanya, wang kertas RM60 hanya dikeluarkan sebagai terbitan khas (peringatan) dan ia hanya dalam kuantiti terhad, sebanyak 60,000 keping sahaja.

“Dakwaan mengatakan wang kertas itu akan menggantikan RM50 adalah palsu. Wang kertas RM50 masih sah dan boleh digunakan dengan yakin.

“Wang kertas RM60 sah digunakan (legal tender) tetapi lebih baik sekiranya ia disimpan, mungkin lagi lama, nilainya akan menjadi lagi tinggi,” katanya.

Baru-baru ini, tular di media sosial termasuk Twitter yang memetik;, “Tindakan bijak daripada Kerajaan PH (Pakatan Harapan). Langkah pertama daripada Perdana Menteri kita yang bijak dan disayangi untuk mengeluarkan wang kertas baharu RM60 dan menarik balik (ban) wang kertas sedia ada, RM50,”.

Pada Disember 2017, BNM mengeluarkan wang kertas peringatan RM60 sempena Ulang Tahun ke-60 Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 3:39 PM