Grab menjalankan pelbagai inisiatif untuk melindungi pelanggan dan pemandu. FOTO NSTP
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


GRAB Malaysia optimis pelaksanaan polisi pembatalan lewat yang dikemas kini tidak akan memberi kesan kepada sebahagian besar penggunanya di negara ini.

Ketua Operasinya, Rashid Shukor berkata, pelaksanaan polisi itu adalah bertujuan untuk melindungi komuniti Grab daripada sikap tidak bertanggungjawab pelanggan.

“Terdapat pelanggan yang sengaja membatalkan tempahan atau tidak muncul apabila pemandu tiba.

“Walaupun sebahagian besar pengguna Grab adalah jujur dan dihormati namun, terdapat trend berulang dalam pembatalan lewat dan tidak memunculkan diri.

“Untuk melindungi pengguna tulen, kami perlu lebih tegas terhadap golongan minoriti yang didapati melakukan perbuatan ini dengan sengaja.

“Kami ingin menegaskan bahawa kami tidak mengambil sebarang keuntungan daripada caj ini namun, ia akan disalurkan kepada rakan pemandu yang terjejas,” katanya pada taklimat media di Petaling Jaya, hari ini.

Sebelum ini, Grab Malaysia mengumumkan caj antara RM3 hingga RM5 akan dikenakan kepada pelanggan yang lewat membatalkan tempahan atau tidak muncul selepas melakukan tempahan.

Untuk pembatalan lewat kali pertama, pelanggan tidak akan dikenakan sebarang caj namun, ia berkuatkuasa untuk pembatalan kali kedua.

Caj berkenaan akan dikenakan ketika pelanggan membuat pembayaran untuk perjalanan berikutnya.

Namun, pelanggan berhak membuat aduan sekiranya tidak berpuas hati dengan caj yang dikenakan dan boleh membuat aduan melalui Pusat Bantuan di aplikasi.

Sekiranya kesilapan adalah di pihak pemandu, penumpang akan menerima bayaran balik dalam bentuk kod promo dalam tempoh dua hari bekerja.

Caj berkenaan akan dikenakan mulai 25 Mac ini bermula di Lembah Klang sebelum diikuti bandar utama lain di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 4:57 PM