Nurhayati Abllah
bisnes@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Sistem Penilaian Kualiti untuk Kerja Pembinaan Bangunan (QLASSIC) akan diwajibkan bagi semua projek perumahan awam dan swasta di Malaysia berkuat kuasa 2020, ke arah menjadikan kediaman mampu milik lebih berkualiti tinggi.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, komitmen berterusan dalam meningkatkan kualiti dalam pembinaan akan meningkatkan permintaan penilaian QLASSIC daripada pembeli, sekali gus meningkatkan keyakinan pembeli terhadap kerja pembinaan oleh syarikat pemaju.

“Purata skor penilaian QLASSIC pada 2018 meningkat berbanding 2017 yang mana skor purata bagi semua projek pembinaan bangunan meningkat daripada 72 kepada 74, tahun lalu.

“Bagi projek swasta khususnya, skor purata meningkat daripada 73 ke 74 manakala bagi projek kerajaan skor purata meningkat daripada 68 ke 72.

“Peningkatan prestasi ini jelas mencerminkan ada peningkatan kesedaran dan komitmen terhadap kualiti di dalam industri pembinaan secara keseluruhannya,” katanya pada perasmian Hari QLASSIC 2019 di sini, semalam.

Seramai 15 pemaju atau pemilik projek, 17 kontraktor dan 18 arkitek akan menerima pengiktirafan Anugerah Pencapaian QLASSIC bagi 20 projek pembinaan bangunan yang dinilai tahun lalu.

Daripada 20 projek berkenaan, satu daripadanya menerima anugerah pencapaian terbaik dengan skor QLASSIC 89 iaitu tertinggi pernah dicapai sejak QLASSIC diperkenalkan pada 2007.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali.

Mengulas lanjut, Baru berkata, CIDB turut memutuskan untuk menaikkan skor kelayakan penerima anugerah pencapaian QLASSIC kepada 83 peratus mulai tahun ini.

“Ia bagi meningkatkan daya saing dan kemapanan industri pembinaan ke satu tahap lebih tinggi,” katanya.

Pada majlis sama, turut diadakan majlis memeterai kerjasama antara CIDB dan Jabatan Perumahan Negara (SPN), Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) serta Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menerusi kerjasama itu, Baru berkata, inisiatif yang dilaksanakan adalah satu daripada strategi yang digariskan dalam pelan tindakan Dasar Perumahan Negara 2.0 yang bertujuan memanfaatkan sepenuhnya teknologi dan ekosistem sokongan bagi meningkatkan penawaran serta produktiviti industri perumahan.

“Hala tuju itu juga selaras dengan sasaran Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) yang menetapkan Indeks Pencapaian Utama (KPI) tersendiri.

“KPI itu antara lain ialah lebih 30 peratus projek perumahan mencapai sekurang-kurangnya 65 markah QLASSIC pada suku ke empat 2020, sejumlah 25 peratus bangunan bukan perumahan bernilai lebih RM10 juta mencapai 65 markah QLASSIC atau lebih bermula Januari 2021 dan 100 peratus projek perumahan mampu milik capai 65 peratus skor minimum,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 10:00 AM