Menteri Kerja Raya, Baru Bian memberi ucapan perasmian Hari Qlassic 2019 anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di MITEC Kuala Lumpur. FOTO Zunnur Al Shafiq
Oleh Nurhayati Abllah
bisnes@hmetro.com.my


SISTEM Penilaian Kualiti untuk Kerja Pembinaan Bangunan (QLASSIC) akan diwajibkan bagi semua projek perumahan awam dan swasta di Malaysia berkuatkuasa 2020, ke arah menjadikan kediaman mampu milik lebih berkualiti tinggi.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, komitmen berterusan dalam meningkatkan kualiti dalam pembinaan akan meningkatkan permintaan penilaian QLASSIC daripada pembeli, sekali gus meningkatkan keyakinan pembeli terhadap kerja pembinaan oleh syarikat pemaju.

"Purata skor penilaian QLASSIC pada 2018 telah meningkat berbanding 2017 yang mana skor purata bagi kesemua projek pembinaan bangunan meningkat daripada 72 kepada 74, tahun lalu.

"Bagi projek swasta khususnya, skor purata meningkat dari 73 ke 74, manakala bagi projek kerajaan skor purata meningkat dari 68 ke 72.

"Peningkatan prestasi ini jelas mencerminkan terdapat peningkatan kesedaran dan komitmen terhadap kualiti di dalam industri pembinaan secara keseluruhannya," katanya pada perasmian Hari QLASSIC 2019, di Kuala Lumpur, hari ini.

Seramai 15 pemaju atau pemilik projek, 17 kontraktor dan 18 arkitek akan menerima pengiktirafan Anugerah Pencapaian QLASSIC bagi 20 projek pembinaan bangunan yang dinilai tahun lalu.

Daripada 20 projek berkenaan, satu daripadanya menerima anugerah pencapaian terbaik dengan skor QLASSIC 89, iaitu tertinggi pernah dicapai sejak QLASSIC diperkenalkan pada 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 6:03 PM