Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Syed Zaid Albar (kiri) ditemani Timbalan Ketua Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin ketika membentangkan Laporan Tahunan 2018. FOTO Nik Hariff Hassan
Mahanum Abdul Aziz
bisnes@hmetro.com.my


Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menjangkakan pasaran modal negara akan terus kekal kukuh tahun ini dengan dana antara RM110 bilion hingga RM120 bilion diunjur dikumpul menerusi tawaran awam permulaan (IPO), pasaran saham dan terbitan bon korporat serta sukuk.

Pengerusinya, Datuk Syed Zaid Albar berkata, pasaran modal negara berkembang dengan utuh dan teratur beberapa tahun lalu dengan saiznya pada akhir 2018 kekal melepasi paras RM3 trilion meskipun berdepan persekitaran pasaran yang mencabar.

Beliau berkata, asas ekonomi makro negara yang kekal kukuh terus menjadi pemangkin kepada pengukuhan pasaran modal negara.

Katanya, aktiviti meraih dana daripada pasaran modal kekal konsisten dengan keperluan pembiayaan ekonomi.

"Ekonomi Malaysia dijangka kekal kukuh tahun ini dengan kecairan domestik dan infrastruktur pasaran modal yang kekal utuh," katanya pada sidang media mengumumkan Laporan Tahunan SC 2018 di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas mengenai perancangan SC, Syed Zaid berkata, pengawal selia pasaran modal itu komited untuk memantapkan lagi pembangunan pasaran modal negara dan institusi kawal selia, dipacu oleh tiga prinsip iaitu boleh diakses; tangkas dan bertanggungjawab.

Beliau berkata, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara yang insklusif dan mapan menuju ke depan, pasaran modal mesti boleh diakses oleh semua penerbit, pelabur dan perantara.

Katanya, ia juga mesti tuntas dan berkembang supaya sejajar dengan perubahan landskap ekonomi dan permintaan pengguna.

“Akses yang lebih besar dan fleksibiliti perlu seiring dengan akauntabiliti yang tinggi. Kami akan terus meningkatkan standard tadbir urus dan kelakuan penerbit dan perantara dalam pasaran modal,” katanya.

Syed Zaid berkata, SC sebagai pengawal selia pasaran perlu bertindak sebagai pemangkin bagi membantu pasaran terus berkembang.

Beliau berkata, pihaknya akan terus progresif, bekerjasama, perbincangan terbuka dan proaktif dalam pendekatannya dengan semua pemegang kepentingan.

“Kami mahu pasaran dengan peluang saksama dan keterangkuman bukan saja untuk syarikat besar tetapi juga meluaskan akses kepada penerbit dan pelabur yang kurang mendapat liputan.

“Ketika ini, kita mempunyai 13,000 syarikat yang mana bukan lagi dikategorikan sebagai enterpris mikro, kecil dan sederhana (MSME). Mereka ini mewakili kira-kira separuh daripada ekonomi dan mereka perlu diberi akses kepada pasaran modal. Dengan menyediakan akses kepada mereka, barulah boleh dikatakan memberi perkhidmatan kepada ekonomi benar Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 6:40 PM