Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mahu pastikan senarai penerima subsidi yang ‘bersih’. FOTO NSTP
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjangkakan mekanisme pelaksanaan subsidi petrol secara bersasar dimuktamadkan pada Julai ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya akan memastikan proses pelaksanaan ini tidak akan berlarutan begitu lama.

Katanya, proses ini juga bukan saja membabitkan KPDNHEP, malah Kementerian Kewangan (MOF) yang perlu menyempurnakan permintaan cadangan (RFP) bagi pemilihan vendor.

“Tujuan utama kita adalah supaya program ini berjalan dengan lancar kerana komponen terpentingnya adalah untuk memastikan senarai penerima subsidi bersasar itu betul-betul ‘bersih’. Yang mana patut ada perlu ada, dan yang tidak sepatutnya dapat jangan ada dalam senarai.

“Dan senarai ini sedang disediakan yang membabitkan 17 agensi untuk memastikan penerima yang layak tersenarai dan kerana itu kita memerlukan sedikit masa.

“Bagaimanapun, saya tak fikir ia akan berlarutan terlalu lama dan kami unjurkan antara Jun dan Julai ini,” katanya kepada media selepas merasmikan kerjasama antara Petronas Dagangan Berhad (PDB) dan Loob Holding Sdn Bhd (Loob) di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Datuk Seri Syed Zainal Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob, Bryan Loo.

November tahun lalu, Saifuddin menyatakan beliau optimis pelaksanaan sistem kad khas dalam menyalurkan subsidi petrol secara bersasar akan dimuktamadkan pada penghujung Februari.

Beliau berkata demikian supaya kementeriannya dapat menggunakan tempoh sebulan untuk menjalankan percubaan sebelum ia dilaksanakan secara sepenuhnya pada April.

Pertengahan Februari lalu juga, Saifuddin memberitahu kementeriannya sudah berada dalam fasa terakhir melaksanakan subsidi petrol secara bersasar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 4:48 PM