NAJMUDDIN (dua dari kanan) melancarkan dana ESG dan BigDF1, semalam.
Bisnes@hmetro

Anak syarikat Bank Islam Malaysia Bhd, BIMB Investment Management Bhd (BIMB Invest) menyasarkan untuk meningkatkan saiz dana ekuiti syariah global berlandaskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), BIMB-Arabesque i Global Dividend Fund 1 (BigDF1) kepada RM1 bilion pada tahun ini daripada RM800 juta pada masa ini.

Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Invest, Najmuddin Mohd Lutfi berkata, selepas memasuki Singapura pada awal tahun ini, BigDF1 bersedia bagi pengembangan pasaran di rantau ini.

“Kami melihat pasaran Indonesia dan Brunei menjelang 2020, selain pasaran Islam global lain,” katanya pada pelancaran rasmi ESG & Sustainability Investing with Big Data Technology and Artificial Intelligence dengan CIMB Islamic di sini, semalam.

Kerjasama dengan CIMB Islamic akan membolehkan rangkaian langganan dana itu terus berkembang melalui cawangan CIMB.

Najmuddin berkata, BIMB Invest Shariah-ESG dilancarkan dengan kerjasama Arabesque Asset Management, pakar ESG-Quant pertama di dunia yang terletak di United Kingdom.

“Ini membolehkan BIMB Invest menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) dan teknologi data raya bagi pengurusan pelaburan kepada generasi akan datang,” katanya.

Dengan kerjasama itu, ESG Syariah BIMB kini menjadi pengurus dana Syariah-ESG terbesar di Malaysia dan ekuiti-Islam keempat terbesar global.

Ia adalah dana sukuk ESG pertama di dunia, dan dana ekuiti Syariah-ESG yang pertama di Malaysia mempunyai dana AI, dana ESG ekuiti global, dana Syariah-ESG global dan dana Syariah-ESG Asia Pasifik.

ESG Syariah mempunyai tiga asas utama iaitu pengurusan aktif 2.0 iaitu strategi pelaburan yang menggabungkan kemampanan, proses pemilihan saham asas yang terkini dan teknologi pengurusan pelaburan.

Ia juga mempunyai prinsip Syariah yang diterima di peringkat global, mengikut standard yang ditetapkan oleh Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan bagi Institusi Kewangan Islam.

Malah, ia turut membabitkan integrasi dengan maklumat bukan kewangan mengenai ESG dan hak asasi manusia, selain hak pekerja, perkara berkaitan alam sekitar dan langkah-langkah pencegahan rasuah.

Data ESG membolehkan BigDF1 menilai prestasi kemampanan syarikat, pandangan mengenai kualiti pengurusan syarikat; yang terdiri daripada keputusan bersifat strategik dan keputusan melibatkan kewangan yang lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 10:30 AM