Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


NAZA Italia-Maserati, pengedar utama kenderaan mewah Maserati dari Itali melancarkan model terbaharu kenderaan utiliti sukan (SUV) Levante Vulcano Edisi Terhad, hari ini.

Dikuasakan dengan enjin 3.0 liter V6 petrol Dwi-Turbo menjana kuasa 430 hp, ia hanya dikeluarkan sebanyak 150 unit di dunia dan hanya 10 unit ditawarkan untuk pasaran Malaysia.

Model yang diimport sepenuhnya dari kilang pemasangan di Marenello ini juga dilengkapi rekaan luaran pek Nerissimo untuk tona gelap pada beberapa bahagian serta rim Helios bersaiz 21 inci dan angkup Brembo.

Ia juga disertakan dengan Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS) dengan ciri keselamatan aktif seperti Kawalan Kenderaan Bersepadu, Amaran Pelanggaran Hadapan, Pengenalpastian Papan Tanda Trafik, Kamera Pandangan Keseluruhan, Sistem Bantu Lebuhraya, Bantu Titik Buta dan Bantu Kekal Laluan.

Rekaan dalaman eksklusif dengan kemasan kulit dan sentuhan gentian karbon, logo Vulcano dan perkataan “one of 150” pada konsol tengah, sistem bunyi premium Bowers&Wilkins serta sistem penutup pintu lembut menjadikan ia tampil sporty dan mewah.

Levante Vulcano Edisi Terhad dijual pada harga bermula RM838,800 dengan tiga tahun jaminan pengeluar tanpa had perbatuan ditawarkan.


MASERATI Levante Vulcano Edisi Terhad ditawarkan pada harga bermula RM838,800. FOTO Supian Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 7:33 PM