PROTON terus catat prestasi cemerlang bagi jualan Februari 2019.
Bisnes HM
bisnes@hmetro.com.my


PROTON terus mencatatkan permulaan yang cemerlang bagi 2019 dengan pendaftaran jualan bagi Februari 2019 sebanyak 5,283 unit.

Jumlah itu mewakili anggaran pegangan pasaran sebanyak 12.7 peratus iaitu peningkatan sebanyak tiga peratus berbanding bulan sama pada 2018.

Keseluruhan jualan meningkat berbanding jenama lain pada Februari yang juga tempoh penjualan kereta paling singkat disebabkan Tahun Baru Cina denan majoriti jenama automotif menjangkakan jualan yang perlahan.

Bagaimanapun, PROTON memecahkan trend itu melalui jualannya yang meningkat sebanyak 37 peratus dari tahun ke tahun di mana bagi dua bulan pertama 2019, jualan telah meningkat sebanyak 42 peratus berbanding 2018.

PROTON mendahului pesaing-pesaingnya yang lain dalam peningkatan jualan untuk dua bulan berturut-turut dan mengukuhkan kedudukan sebagai jenama automotif ketiga yang menjadi pilihan di Malaysia.

Ia juga kini melihat peluang untuk kembali ke tempat kedua menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong dalam kenyataan hari ini berkata, Proton X70 mengekalkan posisi sebagai SUV paling laris di Malaysia.

“Pendaftaran bagi model Proton X70 terus melonjak kerana lebih banyak unit model berkenaan telah tiba di Malaysia.

“Sebanyak 2,823 unit telah didaftarkan pada Februari termasuk 1,000 unit yang telah diserahkan secara serentak kepada pelanggan di seluruh negara sebelum Tahun Baru Cina yang lalu,” katanya.

Menurutnya, sehingga akhir Februari lalu, lebih 20,000 tempahan diterima untuk SUV pertama PROTON, melebihi jangkaan syarikat, menjadikan PROTON sebagai peneraju dalam segmen ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 7:09 PM