Tealive menawarkan produk melalui e-hadiah. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


LOOB Holding Sdn Bhd (Loob Holding), pengasas jenama minuman teh gaya hidup, Tealive tidak menolak kemungkinan untuk menembusi pasaran Jepun pada hujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bryan Loo berkata, pihaknya sentiasa meninjau pasaran berpotensi untuk diteroka bagi memperluas kehadiran Tealive di peringkat global.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya dalam peringkat perbincangan bersama beberapa pihak sebelum keputusan untuk membuka cawangan Tealive itu dimuktamadkan sepenuhnya.

“Kami mahu menjadikan Tealive sebagai jenama global dan untuk itu syarikat akan lebih berhati-hati memilih rakan kongsi bagi melaksanakan perniagaan ini.

“Buat masa ini, syarikat ada berjumpa dan berbincang dengan beberapa syarikat tempatan dan kami berharap ia dapat dimuktamadkan pada suku terakhir tahun ini,” katanya pada sidang media selepas majlis kerjasama Tealive dan Giftee Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Kerjasama itu akan menyaksikan Giftee menawarkan perkhidmatan hadiah elektronik (e-hadiah) di lebih 200 cawangan Tealive di seluruh negara.

Giftee Malaysia setakat ini menyediakan perkhidmatan e-hadiah kepada rakan kerjasama sedia adanya, iaitu Sushi King dan Tealive.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 6:02 PM