SEBANYAK 300 unit Ducati terjual di Malaysia.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Ducati Motor Holding, pengeluar motosikal premium jenama Ducati dari Itali mencatatkan jumlah jualan keseluruhan untuk pasaran dunia sebanyak 53,000 unit pada tahun lalu.

Pengarah Jualan Globalnya Raffaele Fusilli berkata, Itali dan Amerika Syarikat adalah yang paling tinggi dengan masing-masing pada 9,000 dan 8,000 unit manakala, Thailand dan Vietnam mencatatkan jualan tertinggi untuk Asia Tenggara.

“Tahun lalu mencatatkan kejayaan tersendiri daripada model Panigale yang terjual 9,700 unit, meningkat 70 peratus berbanding 2017 dan menjadi pendahulu dalam perkongsian pasaran segmen superbike sebanyak 26 peratus,” katanya dalam lawatan ke Malaysia.

Berbanding jualan Ducati pada 2017, sebanyak 55,871 unit yang mengalami sedikit penurunan sebanyak lima peratus untuk pasaran motosikal 500 cc adalah berikutan penurunan sebanyak tiga peratus jualan keseluruhan segmen itu namun model Panigale dan Multistrada mengukuhkan kedudukan dalam pasaran motosikal mewah.

“Untuk Malaysia, Next Bike Sdn Bhd pengedar utama Ducati di negara ini berjaya mencatatkan jualan 300 unit adalah jumlah yang masih lagi relevan dengan potensi pasaran Ducati yang kini semakin berkembang,” katanya.

Bagi mengukuhkan jenama Ducati di Malaysia pelaburan sebanyak RM3 juta dilakukan bagi penyediaan ruang Jualan, Servis dan Alat Ganti (3S) baharu di Naza Automall, Petaling Jaya.

Selain memberi pengalaman pemilikan yang lebih premium, pelbagai aktiviti dianjurkan bersama pemilik dan model Scrambler antara yang menjadi fokus utama mereka tahun ini.

Katanya, model Scrambler kini antara yang penting dalam barisan jualan produk mereka selain model Multistrada dan Monster yang setiap satu menawarkan pengalaman tunggangan berbeza.

Untuk 2019, tujuh model baru Ducati bakal dilancarkan di negara ini selain pembukaan ruang pameran 3S baru di Johor Bharu.

Malah, pihaknya juga sedang meniliti beberapa permohonan lain dalam meluaskan lagi rangkaian pengedar di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 10:37 AM