Shalma Ainaa memegang Samsung Galaxy 10 pada pelancaran model terbaru Samsung Galaxy 10 di Skytropolis Funland, Genting Highlands. FOTO Rosela Ismail
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


SAMSUNG Malaysia Electronics akan ‘menjatuhkan’ 10 telefon pintar terbaru keluarannya, Samsung Galaxy S10 dari ketinggian 80,000 kaki bagi meraikan ulang tahun ke-10 siri Galaxy S.

Presidennya, Yonsoo Kim berkata, sebuah belon panas yang dilengkapi telefon pintar terbaharu itu akan merakam imej bumi melalui perspektif 'bird's eye' yang lebih terang dan dinamik daripada mana-mana video yang diambil menggunakan telefon pintar.

Ketika penerbangan itu dilakukan, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lokasi secara real time di laman Samsung Malaysia dan teka lokasi kemungkinan telefon pintar itu akan dijatuhkan bagi peluang memenangi Galaxy S10 baharu.

"Peraduan yang dikenali 'Be Unbeaten' itu berlangsung sekarang hingga 4 Mac 2019.

"Sambutan ini adalah percubaan pertama Samsung dan kami di Samsung Malaysia sangat berbangga kerana menjadi pasaran pertama di dunia melaksanakannya.

"Kami akan menjatuhkan 10 unit telefon pintar ini ke bumi di mana peneka paling tepat akan memenangi telefon pintar baharu Galaxy S10 ini," katanya pada majlis pelancaran Samsung Galaxy S10 di Genting Highlands, hari ini.


Presiden Samsung Malaysia Electronics, Yoonsoo Kim melancarkan model terbaru Samsung Galaxy 10 di Skytropolis Funland, Genting Highlands. FOTO Rosela Ismail

Samsung Galaxy S10 ditawarkan dalam tiga varian iaitu Galaxy S10e dengan storan 128 GB, Galaxy S10 dan S10+ (128GB) dan Galaxy S10+ (512 GB) serta ditawarkan pada harga bermula RM2,699 hingga RM4, 599.

Ia didatangkan dalam warna putih, hitam dan hijau Prism manakala, warna putih dan hitam seramik boleh didapati bagi Samsung Galaxy S10+ (512 GB).

Untuk maklumat lanjut, layari https://www.s10beunbeaten.com/space

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 5:14 PM