TAY (kanan) bersama Mok pada majlis menandatangani kerjasama antara Shopee Malaysia menerusi Shopee University dan FPX, semalam. FOTO Salhani Ibrahim
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Pengenalan video tutorial secara dalam talian yang dilancarkan menerusi kerjasama strategik antara Shopee Malaysia dan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dilihat sebagai langkah tepat untuk meningkatkan penyertaan peniaga dalam dunia e-dagang.

Ketua Operasi Shopee Malaysia, Esten Mok berkata, video tutorial itu adalah alternatif kepada bengkel yang dijalankan oleh portal e-dagang itu kepada peniaganya bagi membantu mereka memperkukuh jualan dan pemasaran.

Beliau berkata, secara keseluruhannya ada 10 siri video tutorial yang fokus kepada permulaan perniagaan di Shopee, kaedah pembayaran, pemasaran dalam talian dan logistik.

“Menerusi video tutorial ini, usahawan khususnya daripada golongan B40 dapat menembusi pasaran dengan lebih meluas melalui segmen e-dagang yang ditawarkan melalui saluran Shopee.

“Ia juga memainkan peranan penting sebagai satu daripada strategi jangka panjang Shopee dalam membantu usahawan mengambil peluang dalam trend e-dagang masa kini.

“Usaha ini juga sejajar dengan agenda pembangunan ekonomi negara untuk membina ekosistem keusahawanan yang kondusif dan membantu usahawan bergerak ke arah perubahan dalam pelbagai sektor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis menandatangani kerjasama antara Shopee Malaysia menerusi Shopee University dan FPX yang dikendalikan PayNet di sini, semalam.

Video tutorial itu boleh didapati di laman web Shopee bermula pada hari ini di bawah tetapan Seller Centre dan setiap minggu, satu video akan dimuat naik.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Paynet, Tay Gim Soon.

Mok berkata, Shopee University dilancarkan pada 2016 yang dilaksanakan menerusi kelas bengkel bagi mereka yang berminat untuk terbabit dalam perniagaan dalam talian.

“Setakat ini seramai lebih 5,000 peniaga menyertai bengkel berkenaan yang dikendalikan jurulatih khas dan pakar industri yang berpengalaman dalam bidang e-dagang,” katanya.

Shopee Malaysia mempunyai lebih 400,000 peniaga aktif dengan 28 juta penawaran produk dan lebih 16 juta muat turun untuk aplikasi mudah alihnya.

Selain itu, portal e-dagang itu juga adalah platform beli-belah dalam talian terbesar di Asia Tenggara dan Taiwan dengan jumlah nilai dagangan kasar sehingga AS$6.8 bilion (RM27.68 bilion).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 10:32 AM