DR Ong (dua dari kiri) bersama CEO LH Plus, Callum Cheng (kiri) melawat kilang pembuatan bekas plastik. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my

SHAH ALAM: Pembabitan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam program Penilaian Kesediaan (RA) Industry4WRD (Industry4WRD) adalah penting bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing khususnya untuk sektor pembuatan negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming berkata, setakat ini terdapat 80 syarikat berdaftar di bawah program berkenaan secara atas talian yang dibuka pada bulan lalu.

Beliau berkata, sambutan itu membuktikan kumpulan PKS terbabit berminat dan bersedia untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif itu bagi perubahan yang lebih baik kepada perniagaan.

“Pihak kementerian juga menempatkan pegawai berkaitan untuk membantu syarikat yang berminat yang memerlukan sokongan dalam pendaftaran program ini.

“Pada pusingan pertama, syarikat ini akan menjalani penilaian dan sekiranya layak mereka akan ke peringkat seterusnya yang membabitkan intervensi perniagaan.

“Kita berharap PKS dapat mengambil peluang program ini sepenuhnya bagi membantu pemacuan dalam rantaian nilai produktiviti dan perniagaan,” katanya pada sidang media selepas majlis Hari Produktiviti di LH Plus Sdn Bhd (LH Plus), di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Mohd Razali Hussain, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif LH Plus dan Presiden Persatuan Pengeluar Plastik Malaysia (MPMA), Datuk Lim Kok Boon.

MITI pada 28 Januari lalu melancarkan pendaftaran atas talian bagi program RA Industry4WRD sebagai usaha membantu syarikat yang berminat untuk menyertai program itu.

Untuk itu, MITI juga akan menganjurkan 10 sesi taklimat dan perkongsian bagi membantu PKS yang akan bermula pada 25 Februari hingga 21 Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 10:43 AM