KWSP mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.15 peratus untuk Simpanan Konvensional bagi 2018. FOTO Salhani Ibrahim
Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menyemak semula Alokasi Aset Strategiknya (SAA) tahun ini bagi memantapkan lagi strategi pelaburan jangka panjangnya dalam usaha menjamin pulangan yang baik kepada pencarumnya pada masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tunku Alizakri Alias berkata, pengurus dana persaraan terkemuka tempatan itu akan bekerjasama dengan perundingnya bagi mengenal pasti jenis SAA yang akan dilaksanakan bagi tempoh tiga tahun bermula tahun depan.

Beliau berkata, kajian semula SAA itu akan mengambil kira jangkaan pasaran yang bakal berlaku pada masa depan.

Katanya, pelaksanaan SAA itu adalah memastikan pelaburan yang dibuat pengurus dana persaraan berkenaan adalah tepat dan tidak hanya bergantung kepada satu jenis kelas aset saja.

“Strategi pelaburan jangka panjang kami dipandu oleh SAA. SAA dilakukan untuk tempoh tiga tahun dan kami tidak melakukan perubahan SAA setiap tahun bagi memastikan konsistensinya,” katanya pada sidang media mengenai dividen 2018.

Pada 2018, Tunku Alizakri berkata, KWSP melabur 50 peratus daripada asetnya dalam pendapatan tetap, 39 peratus dalam ekuiti, enam peratus dalam pasaran wang dan lima peratus dalam hartanah dan infrastruktur.

Beliau berkata, ekuiti kekal sebagai pemacu utama pendapatan pelaburan kasarnya pada tahun lalu dengan menyumbang 58 peratus daripada RM50.88 bilion yang dicatatkan pada 2018.

Katanya, pada tahun lalu, kira-kira 40 peratus pendapatan KWSP disumbangkan pelaburan luar negara.

Mengenai tinjauan 2019, Tunku Alizakri berkata, persekitaran pasaran kekal mencabar berikutan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, pertumbuhan perlahan ekonomi dunia dan Brexit.

Katanya, meskipun berdepan persekitaran yang mencabar, KWSP kekal komited untuk terus memastikan ia melepasi objektif pelaburan dan sasaran strategiknya.

Mengenai prestasi Simpanan Syariah, Tunku Alizakri berkata, perbezaan dividen antara Simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah mengecil kepada 0.25 mata asas pada 2018 berbanding 0.50 mata asas dicatatkan pada 2017.

Katanya, jumlah pencarum Simpanan Syariah adalah 748,000 orang dengan nilai caruman RM85 bilion.

Setakat 31 Disember 2018, KWSP mempunyai 14.19 juta pencarum sementara aset pelaburannya berjumlah RM833.76 bilion.

KWSP mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.15 peratus untuk Simpanan Konvensional bagi 2018 dan 5.90 peratus bagi Simpanan Syariah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 10:23 AM