LIM (empat dari kiri) beramah mesra dengan wakil institusi kewangan yang terbabit menyediakan pinjaman kepada PKS pada pelancaran Skim Jaminan RM2 bilion oleh SJPP, semalam. FOTO Rosela Ismail
Nurhayati Abllah dan Syalikha Sazi
nurhayatiabllah@bh.com.my


KUALA LUMPUR: Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) melancarkan skim jaminan berjumlah RM2 bilion bagi menyediakan akses pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ke arah Revolusi Industri 4.0.

Peruntukan itu adalah sebahagian daripada sejumlah skim jaminan RM6.5 bilion yang diumumkan dalam Bajet 2019.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, skim jaminan oleh SJPP itu diwujudkan berdasarkan sumbangan PKS sebanyak 37 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tahun lalu.

“Kadar itu dijangka akan meningkat kepada 41 peratus pada 2020,” katanya pada pelancaran Skim Jaminan RM2 bilion oleh SJPP di sini, semalam.

Ketika ini 13 bank terbabit secara aktif dalam mempromosikan skim jaminan di bawah SJPP termasuk bank RHB, SME, Maybank Islamic, Standard Chartered dan UOB.

Hadir sama, Pegawai Prinsipal SJPP, Chen Yin Heng.

Lim berkata, di bawah skim jaminan berjumlah RM6.5 bilion itu, sehingga 70 peratus daripada pinjaman yang dibuat PKS akan dijamin kerajaan.

“Skim yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 itu akan membantu PKS mendapatkan akses kepada pembiayaan dan ini menggalakkan bank untuk turut berkongsi risiko.

“Ia sangat penting kerana kami dapati bank lebih berminat memberi pinjaman kepada syarikat besar dan kepada mereka yang tidak memerlukan sebarang pembiayaan.

“Melalui SJPP, kami mengharapkan perubahan selain memacu sektor PKS untuk lebih maju dan berdaya saing,” katanya.

SJPP iaitu pentadbir dan pengurus skim jaminan kredit di bawah Kementerian Kewangan yang ditubuhkan pada 2009.

Syarikat berkenaan menerima keseluruhan skim jaminan berjumlah RM35 bilion dan sehingga kini sudah menggunakan RM18 bilion yang memberi manfaat kepada lebih 14,000 PKS di seluruh negara.

Setakat ini, SJPP mentadbir dan menguruskan skim jaminan yang terdiri Skim Jaminan Modal Kerja (SJMK), Skim Jaminan Modal Kerja-Bumiputera (SJMK-Bumi), Skim Jaminan Modal Kerja - StartUp (SJMK-SU) dan Skim Jaminan Proses Automasi (SJPA).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 10:20 AM