VACH (tengah) menyerahkan cenderamata kepada Pengarang Kumpulan Harian Metro, Tuan Asri Tuan Hussein ketika lawatan kerja Al Ikhsan ke Balai Berita, semalam. FOTO Aziah Azmee
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd (Al-Ikhsan), peruncit barangan sukan terkemuka menjangkakan perniagaannya mampu mencatatkan prestasi baik meskipun dalam jangkaan sentimen pengguna lembap dan persekitaran ekonomi mencabar pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Vach Pillutla berkata, jangkaan itu berdasarkan pertumbuhan baik yang dicatatkan sejak dua tahun lalu dan pelaksanaan pelan perniagaan jangka panjangnya.

“Bermula pada tahun ini hingga 2021, kami akan mempertingkatkan kehadiran jenama Al-Ikhsan melalui tiga konsep perniagaan runcit sukan berbeza bagi memastikan kami kekal dominan dan terus menguasai pasaran tempatan,” katanya kepada Bisnes Metro selepas lawatan ke Balai Berita di sini, semalam.

Beliau berkata, persekitaran ekonomi mencabar dan sentimen pengguna tidak akan memberi impak besar kepada perniagaanya berikutan syarikat sentiasa menawarkan nilai yang kukuh melalui produk pengguna yang terbaik pada harga berpatutan.

“Walaupun pengguna dijangka lebih berhati-hati pada tahun ini namun kami masih optimis berikutan trend terkini menyaksikan perbelanjaan dalam kalangan pengguna masih meningkat terutama menjelang sambutan musim perayaan,” katanya.

Sementara itu, Al-Ikhsan akan memberi lebih fokus kepada usaha untuk mengukuhkan dan memperluas tiga konsep perniagaannya yang terdiri daripada Al-Ikhsan Sports, Football Republic dan Sneaker Street bagi tahun ini.

Vach berkata, pihaknya merancang untuk membuka lapan hingga 10 cawangan Al-Ikhsan Sports pada tahun ini dan 25 hingga 30 cawangan menjelang 2021 bagi memenuhi sasaran jangka panjangnya iaitu membuka 245 cawangan Al-Ikhsan Sports dalam tempoh masa sama.

“Kami juga merancang untuk membuka empat cawangan Sneaker Street pada tahun ini dan lima cawangan Football Republic dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya.

Sehingga kini, Al-Ikhsan memiliki tiga konsep pernigaan runcit sukan iaitu Al-Ikhsan Sports yang kini memiliki 115 cawangan, Football Republic (lima cawangan) dan 15 cawangan Sneaker Street dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pada masa sama, Al-Ikhsan merancang untuk memperkenalkan saluran omni dan e-dagangnya menjelang Ogos tahun ini bagi memberi kemudahan kepada orang ramai untuk mendapatkan barangannya.

“Konsep saluran omni dan e-dagang yang diperkenalkan ini akan membolehkan orang ramai melihat produk diingini secara dalam talian, membuat tempahan dan mendapatkannya di cawangan Al-Ikhsan terdekat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 9:31 AM