Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Naza Premira Sdn Bhd, pengedar utama skuter jenama Vespa di negara ini memperuntukkan RM1 juta bagi penyediaan gudang alat ganti jenama itu untuk pasaran tempatan.

Ketua Bahagian Dua Roda, Kumpulan Automotif Naza Corporation Holdings, Nazman Yusof berkata, stor yang terletak di Shah Alam itu adalah sebagai hab bekalan alat ganti dan komponen Vespa untuk keperluan rangkaian pengedar di negara ini.

“Oleh kerana prestasi jualan semakin meningkat, kami perlu mengukuhkan khidmat selepas jualan jenama Vespa bagi perkhidmatan servis dan penyelenggaraan premium kepada pemilik,” katanya pada pelancaran model edisi terhad Vespa Notte Edition, semalam.


NAZMAN (kiri) pada pelancaran model edisi terhad Vespa Notte Edition, semalam. FOTO Hafiz Sohaimi

Edisi terhad Vespa Notte Edition dengan dua varian ditawarkan iaitu Vespa Notte GTS Super 300 ABS dan Vespa Notte Sprint 150 i-Get ABS.

Ia dijual pada harga bermula RM29,000 dan RM17,700 untuk Vespa Notte GTS Super 300 ABS dan Vespa Notte Sprint 150 i-Get ABS dengan jaminan dua tahun pengeluar atau 20,000 kilometer (km) yang mana lebih dahulu.

Tahun lalu Vespa mencatatkan peningkatan jualan sebanyak sembilan peratus berbanding 2017 dengan jualan sebanyak 1,300 unit.

Untuk 2019, pihaknya menyasarkan pertumbuhan sebanyak 12 peratus untuk mencapai jualan 1,400 unit dengan rancangan memperkenalkan lapan lagi model baharu Vespa.

Nazman berkata, antara faktor jualan lebih positif tahun lalu berjaya dicatatkan adalah melalui pelancaran tujuh model baharu serta pelbagai aktiviti bersama pemilik dianjurkan bagi pemasaran jenama lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 8:42 AM