KEMPEN Slash The Leng Chai.
Sofyan Rizal Ishak
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Lazada menjadi platform e-dagang yang paling ramai dikunjungi di rantau Asia Tenggara bagi tempoh suku keempat tahun lalu dengan mencatatkan purata kunjungan bulanan tertinggi di komputer peribadi dan web mudah alih.

Syarikat itu mencatatkan purata kunjungan bulanan sebanyak 183.4 juta, diikuti Tokopedia (153.6 juta) dan Shopee (147.6 juta).

Ketua Kandungan Pemasaran Malaysia iPrice Group, Jeremy Chew berkata, suku keempat tahun lalu adalah tempoh paling penting bagi syarikat dan perniagaan e-dagang di mana ia menyaksikan mereka menjalankan pelbagai inisiatif bagi mempromosikan tempoh jualan atas talian seperti ‘Jualan Singles’ Day’, Jualan 12.12, ‘Black Friday’ dan jualan akhir tahun.

“Pada suku terakhir 2018, kami melihat wujud persaingan sengit dalam arena e-dagang di mana ia membuktikan tempoh penting bagi kebanyakan perniagaan di Asia Tenggara dan Malaysia,” katanya dalam laporan suku tahun keempat pasaran e-dagang 2018 iPrice di sini, semalam.

Laporan yang bertujuan mengenal pasti platform e-dagang paling berjaya pada suku keempat 2018 itu dijalankan iPrice dengan menganalisis trafik atas talian, kedudukan aplikasi mudah alih, pengikut media sosial dan bilangan pekerja bagi tempoh Oktober sehingga Disember 2018.

Beliau berkata, purata lawatan bulanan yang dicapai Tokopedia adalah mengagumkan berbanding Lazada dan Shopee kerana Tokopedia hanya terdapat di Indonesia berbanding kedua-dua platform itu yang meraih purata trafik keseluruhan daripada pelbagai negara di Asia Tenggara.

“Untuk Malaysia, platform e-dagang seperti Lazada, Shopee dan 11street kekal sebagai tiga platform paling banyak dilawati dengan kunjungan atas talian masing-masing seramai 26.2 juta, 20.2 juta dan 8.4 juta.

“Untuk Asia Tenggara, Lazada memiliki trafik web tertinggi di empat daripada enam negara yang diterokainya manakala Shopee menerajui dari aspek lawatan atas talian di Indonesia dan Vietnam dengan kedua-dua negara ini antara pasaran e-dagang paling penting di rantau ini, sekali gus mengekalkan Shopee sebagai pesaing hebat bagi Lazada,” katanya.

Jeremy berkata, kini lebih 74 peratus trafik atas talian adalah daripada peranti mudah alih dengan Shopee menjadi peneraju segmen ini bagi kategori beli-belah secara purata di Indonesia, Malaysia, Vietnam dan Filipina.

“Persaingan antara aplikasi beli-belah Lazada dan Shopee pula kekal sengit di Singapura dan Thailand,” katanya.

Beliau berkata, iPrice menjangkakan kemunculan peneraju e-dagang baharu di Asia Tenggara pada Ogos 2019 dan kemungkinan besar ia akan terarah kepada Tokopedia iaitu syarikat e-dagang Indonesia yang mencatatkan prestasi mengagumkan kerana mampu mencabar tempat teratas meskipun hanya beroperasi di negara terbabit.

“Tahun ini akan menjadi ‘masa rehat’ untuk pasaran atas talian yang memiliki pelan besar untuk meluaskan skala dan capaiannya dengan melabur dalam kemudahan dan teknologi di Indonesia.

“Oleh itu, Tokopedia berada pada kedudukan baik untuk mempercepatkan pembangunannya bagi memegang gelaran platform e-dagang yang paling banyak dilawati di rantau ini,” katanya.

Walaupun Tokopedia hampir mengatasi Lazada pada pertengahan 2018 dengan Tencent turut menyokong e-dagang, Shopee juga berada di kedudukan yang baik untuk berada di tempat teratas yang didorong jualan Singles’ Day yang menyumbang kepada perubahan kedudukan dari tempat ketiga ke tempat kedua serta menjadi pesaing rapat Lazada sehingga akhir 2018 lalu.

Untuk maklumat lanjut sila layari https://iprice.my/insights/mapofecommerce/ .

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 10:37 AM