Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: SME Corporation Malaysia (SME Corp) akan menjalin usaha sama strategik bersama Bank Dunia sebagai usaha untuk memantapkan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya menjadi lebih berdaya maju dalam persekitaran ekonomi semasa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Noor Azmi Mat Said berkata, usaha itu juga sejajar dengan usaha SME Corp selaku agensi penyelaras pusat bagi PKS untuk mewujudkan ekosistem yang bersesuaian dengan trend terkini.

Beliau berkata, dalam merealisasikannya, SME Corp dalam proses pengumpulan data berkaitan PKS yang mana ia akan dikongsikan kepada Bank Dunia.

“Menerusi perkongsian ini, ia akan memberi peluang kepada institusi kewangan antarabangsa itu untuk menilai pembabitan PKS di negara ini dengan penyelidikan dan kajian yang teratur.

“Berdasarkan penilaian dan penyelidikan yang dijalankan, pihak Bank Dunia dapat memberi cadangan mengenai sektor yang kita boleh tumpukan bagi pembangunan usahawan ini.

“Malah, kita juga dijangka mendapat maklum balas berkenaan usaha ini pada tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas Seminar Penyelarasan Indeks Dasar PKS ASEAN (ASPI) di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, Pesuruhjaya Tinggi Kanada Julia Bently dan Pengerusi SME Corp Datuk Seri Syed Husein Al Habshee.

Dalam pada itu, Mohd Redzuan berkata, melalui kerjasama dengan Bank Dunia terbabit, ia dapat memberi pendedahan kepada sektor yang memerlukan kemahiran seperti penerbangan dan digital.

Katanya, kerajaan berhasrat memanfaatkan perkara ini dan ia adalah satu langkah tepat dilaksanakan khususnya bagi sektor PKS.

“Sebagai contoh, apabila kerajaan mengumumkan melaksanakan projek kereta nasional ketiga, ia bukan tertumpu untuk menghasilkannya malah lebih kepada aplikasi kemahiran,” katanya.

Sementara itu, Seminar ASPI yang dirasmikan oleh Mohd Redzuan itu turut menyaksikan bahawa Malaysia mendahului kedudukan pertama dalam pembangunan PKS di rantau ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 12:56 PM