PESAWAT Malindo Air Boeing 737-800 di KLIA.
Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Malindo Air mengumumkan penambahbaikan bagi perkhidmatan dalam penerbangannya untuk memenuhi keperluan dalam kalangan penumpang mereka.

Penambahbaikan itu membabitkan pelbagai makanan dan snek yang kini boleh didapati bagi pembelian dalam penerbangan bagi pesawat Boeing Malindo Air.

Ia termasuk minuman panas seperti kopi dan teh, jus oren dan mangga, minuman ringan dan minuman beralkohol di samping beberapa snek seperti mi cawan panas, kek ‘red velvet’, kerepek kentang, Oreo, M & M dan Kit Kat.

Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Chandran Rama Muthy berkata, penambahbaikan ini dilakukan berikutan maklum balas penumpang yang meminta untuk memiliki lebih pilihan dalam makanan dan minuman panas serta sejuk.

“Kami berpendapat langkah ini akan memberikan pengalaman lebih baik kepada penumpang kelas ekonomi kami dan kami akan terus meningkatkan menu dari semasa ke semasa sama juga seperti Barangan Eksklusif Malindo dan barangan bebas cukai,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Semua barangan terbabit akan ditawarkan pada harga berpatutan untuk penumpang kelas ekonomi yang ingin memiliki pilihan snek dan minuman lain di samping makanan panas percuma atau makanan ringan dan air minuman yang disediakan.

Untuk penumpang kelas perniagaan pula, mereka akan terus menikmati semua perkhidmatan terbaru dan lebih banyak lagi selepas ini secara percuma.

Pada masa sama, kombo pek Starbucks Cofee dengan pilihan sama ada bun atau muffin boleh didapati untuk pembelian dalam penerbangan bagi pesawat ATR Malindo Air.

Sementara itu, pelbagai pilihan Barangan Eksklusif Malindo dan bebas cukai (untuk sektor antarabangsa saja) tidak boleh dilepaskan dalam penerbangan pesawat Malindo Air.

Penambahan terbaru bagi Barangan Eksklusif Malindo adalah Get Comfy Kit’ yang dilengkapi dengan selimut bulu dan earphone dan boleh dibeli dengan hanya RM25 secara atas talian dan RM30 dalam penerbangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 12:35 PM