PNS mempunyai 56 cawangan Gloria Jeans Coffee di empat negara sejak 12 tahun lalu. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Zarina Zakariah
bisnes@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perbadanan Nasional Berhad (PNS) berhasrat untuk lebih agresif pada tahun ini di bawah pelan lima tahunnya bagi menjenamakan semula agensi itu dalam perniagaan francais.

Pelan tindakan itu akan memberi penekanan kepada pembiayaan, menjadi pelabur atau pemegang ekuiti dan membawa lebih banyak perniagaan francais ke negara ini.

Melalui peruntukan RM110 juta pada tahun ini, PNS merancang untuk membawa sekurang-kurangnya lima francaisor induk ke Malaysia sebagai sebahagian daripada sasarannya untuk menjana RM35 bilion menjelang 2020.

Jumlah itu akan meningkatkan lagi sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara daripada 3.4 peratus atau RM27.7 bilion pada 2017.

Ketua Pegawai Operasi PNS, Azlina Juliani Abd Jalil berkata, pihaknya menyerahkan pelan tindakan lima tahun itu kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Bermula tahun ini dan seterusnya, kami merancang untuk melaksanakan strategi baharu dan memposisikan semula PNS bagi berkembang selaras dengan pertumbuhan industri di samping kekal fokus untuk memacu dan mempercepatkan perniagaan francais.

“Daripada jumlah peruntukan sebanyak RM110 juta, RM35 juta adalah untuk pembangunan francais, RM65 juta untuk pembangunan keusahawanan perusahaan sederhana dan RM10 juta untuk peruntukan ruang runcit.

“Kami kini menyasarkan untuk menjadi agresif dan menjenamakan semula diri sebagai pemain francais utama dengan matlamat membawa lebih banyak francais ke dalam negara sekali gus meningkatkan kesan tempias perniagaan ini kepada ekonomi,” katanya kepada Bisnes Metro di sini.

Pada November 2018, PNS mempunyai kira-kira 56 cawangan Gloria Jeans Coffee di bawah perniagaan francaisnya di Malaysia, Myanmar, Indonesia dan Brunei sejak 12 tahun lalu.

Mengulas mengenai hala tuju PNS di bawah kerajaan baharu, Juliani berkata pihaknya mengemukakan satu cadangan kepada Jabatan Perdana Menteri dan ia diluluskan.

“Dengan kelulusan itu, kami kini mempunyai pelan lima tahun mengenai bagaimana untuk memberi tumpuan dan mengembangkan perniagaan francais dengan tujuan untuk mewujudkan lebih banyak perniagaan yang kemudian akan mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan menyumbang kepada KDNK negara,” katanya.

Menurutnya, PNS merancang untuk melakukan langkah itu dengan memperluaskan kumpulan pemegang francais, menyokong ekosistem francais dan pada masa sama mengenal pasti segmen pasaran yang kurang diberi perhatian namun mempunyai potensi peluang francais.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 12:00 PM