PLATFORM e-hailing MyCar digerakkan oleh 65,000 pemandu dan lebih 1.2 juta pengguna. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
BERNAMA

Kuala Lumpur: Aplikasi e-hailing, MyCar menyasarkan untuk muncul sebagai pembekal utama perkhidmatan itu di negara ini melalui pembukaan beberapa cawangan baharu di Malaysia dan luar negara.

Setakat ini, MyCar yang dimiliki sepenuhnya oleh anak tempatan membuka cawangan di Kota Kinabalu serta Langkawi dan disusuli Kuching dan Johor Bahru tidak lama lagi bagi memenuhi permintaan pengguna dan pemandu MyCar.

Pengarah Platforms Apps Sdn Bhd, Mohd Noah Maideen berkata, pembukaan pejabat cawangan itu akan memantapkan lagi operasi MyCar di samping memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna dan pemandunya.

“Ini sejajar dengan perkembangan MyCar yang bakal menjadi peserta utama perkhidmatan e-hailing di negara ini,” katanya.

Platform Apps adalah pengasas MyCar iaitu platform e-hailing yang paling pesat berkembang selepas Grab di mana ia kini digerakkan oleh 65,000 pemandu dan lebih 1.2 juta pengguna yang berdaftar di bawahnya.

Beliau berkata, MyCar turut mementingkan aspek keselamatan pengguna melalui penubuhan jabatan pengurusan pemandu bagi mengendalikan sebarang masalah dan displin pemandu serta penumpang dalam usaha mencegah kejadian jenayah dan salah laku.

Menerusi usaha itu, pengguna atau pemandu terbabit boleh menghubungi talian 24 jam MyCar iaitu 03-76616208 bagi sebarang pertanyaan atau aduan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 10:01 AM