GUNTOR menunjukkan ladang solar yang mula beroperasi pada November 2018 di Bidor, Perak.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Gading Kencana Development Sdn Bhd (Gading Kencana), pemilik Loji Janakuasa Solar di Bidor, Perak bakal melabur RM200 juta untuk membangunkan projek rumah mampu milik yang mempunyai bumbung dilengkapi panel solar pada tahun ini.

Pengarah Urusannya Datuk Guntor Tobeng berkata, projek percubaan yang kini dalam fasa kajian itu akan memiliki bumbung yang dipasang dengan 88 keping panel solar yang mampu menjana tenaga elektrik sehingga 30 MW.

“Kami akan memulakan projek ini pada tahun ini dan kami kini mengintai peluang untuk melaksanakannya di kawasan seluas 20 hektar yang terletak di Ulu Bernam, Perak,” katanya, di sini.

Beliau berkata, projek rumah mampu milik dengan konsep tradisional itu bakal membabitkan pembangunan 300 unit rumah dan akan dibangunkan melalui kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) serta siap dalam tempoh 15 bulan.

Menurutnya, tenaga elektrik yang dijana daripada kepingan solar dari panel bumbung itu akan disambung ke pencawang dan seterusnya ke grid kebangsaan dan konsep terbabit akan menjadi sumber kewangan kepada pemilik rumah.

“Sebagai contoh, bagi sebuah rumah yang berukuran 20x70 kaki persegi dan berharga kira-kira RM300,000 maka nilai komitmen bulanannya ialah antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan namun melalui pembelian rumah yang memiliki bumbung solar, maka nilai komitmen bulanannya adalah di bawah RM300 sebulan sahaja.

“Sehubungan itu, pemilik rumah ini akan menikmati penjimatan besar dalam perbelanjaan bulanan sepanjang perjanjian malah bumbung panel solar itu memiliki jangka hayat sehingga 35 tahun,” katanya.

Dalam masa sama, Gading Kencana berkemungkinan untuk melaksanakan pembangunan projek itu melalui kerjasama dengan syarikat pemaju hartanah di Perak.

Sementara itu, Gading Kencana mencatatkan sejarah bagi Loji Jana Kuasa Solar Bidor yang mula beroperasi pada awal November tahun lalu kerana ia dibina dengan menggunakan 90 peratus kandungan tempatan.

Loji itu juga melakar sejarah kejuruteraan di negara ini kerana pertama kalinya di Malaysia menyambung tenaga elektrik ke 132 KV grid kebangsaan.

“Lokasi Bidor dipilih kerana ia mempunyai kadar pancaran matahari yang baik dengan jumlah kumulatif purata data penyinaran setahun adalah 1,695.2 kwh/m2.

“Projek terbabit memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi di daerah itu kerana ia memberi peluang pekerjaan kepada tenaga kerja tempatan dengan 30 peratus daripadanya terdiri daripada tenaga mahir dalam kalangan wanita muda Melayu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 1:38 PM