AMIRUDDIN (kanan) berucap bagi merasmikan Pejabat Perhubungan Kerajaan & Sektor Awam Affin Hwang Asset Management Berhad. Turut bersama, Mohd Zahidi (kiri). FOTO Rosela Ismail
Mohd Zaky Zainuddin
zaky@bh.com.my

KERAJAAN akan melihat semula tempoh masa pengeluaran wang persaraan rakyat Malaysia selaras dengan keperluan semasa.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, langkah itu adalah untuk memastikan rakyat Malaysia tidak berdepan masalah kewangan apabila bersara kelak.

“Kita akan melihat secara keseluruhan untuk memperkukuhkan kedudukan kewangan mereka yang bersara agar tidak berdepan kesulitan sewaktu tempoh persaraan,” katanya kepada media selepas merasmikan pejabat perhubungan kerajaan dan sektor awam Affin Hwang Asset Management Bhd di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Affin Bank Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin.

Amiruddin berkata, buat masa ini belum ada perubahan bagi tempoh pengeluaran berperingkat termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu pada usia 50 tahun dan pengeluaran penuh pada usia 55 dan 60 tahun.

Katanya, kajian terperinci tempoh dan jumlah pengeluaran akan dilaksanakan kerajaan dengan melihat kesesuaian masa dan keadaan memandangkan Malaysia kini menuju negara berusia menjelang 2020.

“Populasi rakyat berusia di Malaysia terlalu cepat berlaku berbanding Eropah dan Amerika Syarikat (AS), jadi perlu ada perubahan mekanisme peraturan pengeluaran wang persaraan bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat.

“Begitu juga dengan skim pencen. Kerajaan akan lihat secara total supaya ia munasabah. Selain itu, langkah bantuan lain juga akan diperkemaskan termasuk Bantuan Sara Hidup (BSH),” katanya.

Mengenai isu Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), beliau menjelaskan terdapat rasionalnya ia diletakkan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) daripada Jabatan Perdana Menteri sebelum ini.

“Rasionalisasi akan mengambil sedikit masa. Namun, saya pasti penyelarasan di bawah satu kementerian akan memudahkan tadbir urus pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 3:53 PM