MIHAS 2019 bagi edisi ke-16 akan berlangsung dari 3 hingga 6 April 2019. FOTO Aizuddin Saad
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) mengumumkan Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) akan memadankan lebih daripada 400 syarikat Malaysia dan 150 pengimport berkualiti tinggi dari lebih 40 negara seluruh dunia.

Acara padanan perniagaan global terkenal Malaysia itu akan menyaksikan pembeli dan penjual melalui 2,000 mesyuarat perniagaan sepanjang acara sehari itu yang berlangsung pada 2 April 2019 di Menara Matrade iaitu sehari sebelum penganjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata, INSP adalah program yang paling dicari perusahaan kecil sederhana (PKS) di mana ia membolehkan syarikat tempatan bertemu dengan pembeli global tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan perjalanan yang besar.

“INSP sangat berkesan bagi syarikat di Malaysia untuk menonjolkan jenama mereka kepada pembeli global kerana mereka memiliki komunikasi langsung dan peribadi dengan pembeli berpotensi mereka dan ini meningkatkan peluang mereka untuk menjamin urus niaga eksport.

“Program ini juga sangat berkesan kerana kami menemukan syarikat Malaysia dengan pembeli asing yang sudah menentukan minat mereka daripada awal dan pembeli ini boleh dipercayai dan diselidiki oleh kami,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

INSP dikoordinasikan oleh penganjur MIHAS iaitu Matrade di mana ia sudah berjaya membantu lebih 7,000 PKS dan menjana lebih RM21 bilion dalam perdagangan secara terkumpul bagi syarikat terbabit sejak 2005.

Sektor yang terbabit dalam INSP adalah termasuk kewangan Islam, farmaseutikal, kosmetik, minuman dan makanan, pelancongan mesra Muslim, digital dan e-dagang serta logistik di mana ia juga adalah fokus sektor bagi MIHAS.

Beliau berkata, pembeli global lebih cenderung menghadiri padanan perniagaan Matrade kerana mereka tahu pihaknya hanya menampilkan syarikat Malaysia yang sedia eksport dan dilengkapi dengan pensijilan relevan dan menawarkan produk atau perkhidmatan berkualiti tinggi pada harga perbandingan.

“Usaha ini memberikan banyak kesan positif kepada negara terutama dalam mempromosikan negara sebagai destinasi pelancongan perniagaan ideal di mana kebanyakan pembeli meletakkan acara ini dalam kalendar tahunan setiap tahun manakala pendatang baru kagum dengan ekosistem halal negara yang komprehensif,” katanya.

INSP adalah acara utama MIHAS dan melengkapkannya sebagai pameran perdagangan halal terbesar dunia di mana ia turut dilengkapi dengan Program Pembeli Dihoskan dan Penjadual Mesyuarat Atas Talian dikenali MIHAS Connect.

MIHAS 2019 bagi edisi ke-16 akan berlangsung dari 3 hingga 6 April 2019 bertempat di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur di mana ia akan menghimpunkan pemamer dan pelawat perdagangan dari lebih 70 negara seperti Filipina, Korea Selatan, Jepun, China, Belgium, Perancis, Turki, India, Palestin, Iran, Saudi dan lain-lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 12:00 PM