SEGMEN hiburan rumah mencatatkan peningkatan dipacu oleh kekuatan barisan produk premium LG. FOTO Mahzir Mat Isa
HM Digital

Kuala Lumpur: LG Electronics Inc (LG) mengumumkan rekod pendapatan tahunan keseluruhan sebanyak KRW61.3 trilion (AS$54.4 bilion) pada tahun lalu yang juga melebihi 60 trilion KRW untuk tahun kedua berturut-turut.

Syarikat berpangkalan di Korea Selatan itu mencatatkan peningkatan keuntungan hampir 10 peratus kepada KRW2.70 trilion (AS$2.40 bilion) tahun lalu berbanding 2017, sekali gus mencerminkan keuntungan rekod daripada produk hiburan rumah dan perkakasan.

“Pendapatan suku keempat tahun lalu iaitu KRW 15.77 trilion (AS$ 13.99 bilion) adalah lebih tinggi daripada suku ketiga namun tujuh peratus lebih rendah berbanding suku keempat 2017 berikutan jualan produk mudah alih lebih rendah,” kata LG dalam kenyataan di sini.

Syarikat perkakasan rumah dan penyelesaian udara LG mencatatkan peningkatan pendapatan lima peratus tahun lalu kepada KRW19.36 trillion (AS$17.17 billion) berbanding 2017 yang menjana keuntungan KRW1.52 trillion (AS$ 1.35 billion) iaitu jumlah tertinggi dalam sejarah syarikat.

Syarikat hiburan rumah LG pula mencatatkan pendapatan KRW16.21 trilion (AS$ 14.37 billion) dengan keuntungan tertinggi sebanyak KRW1.52 trillion (AS$ 1.35 bilion) dipacu oleh kekuatan barisan produk premium LG.

LG berkata, syarikat komunikasi mudah alih LG mencatatkan pendapatan KRW7.98 trilion (AS$ 7.08 bilion) pada tahun lalu dengan jualan menurun sebanyak 16 peratus daripada suku ketiga tahun sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 10:00 AM