PRODUK kanta lekap yang dikeluarkan oleh Maxvue Vision Sdn Bhd. FOTO Bernama
BERNAMA

Seremban: Pengeluar kanta lekap Maxvue Vision Sdn Bhd menyasar untuk memperkukuh kedudukannya di Afrika tahun ini di samping menambah baik kehadiran jenama itu di pasaran tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya K Selvam berkata walaupun Maxvue merupakan 100 peratus syarikat tempatan, produk tersebut dilihat lebih mudah diterima di negara Eropah dengan kira-kira 80 peratus daripada perolehannya disumbangkan daripada eksport.

“Bagi Afrika yang mewakili kira-kira satu pertiga daripada populasi dunia, rantau ini dilihat membuka peluang perdagangan dan kami mahu merebut peluang itu. Ketika ini kami mengeksport produk ke negara-negara Afrika seperti Madagascar, Nigeria dan Afrika Selatan.

“Kami bercadang melantik pengedar untuk pasaran khusus dan memperkenal rangkaian kanta lekap baharu kami iaitu Flash yang mampu milik bagi pasaran Afrika,” katanya.

Selvam berkata syarikat tersebut ditubuhkan pada 2004 dengan lebih tertumpu untuk menguasai pasaran antarabangsa manakala segmen tempatan diuruskan para pengedarnya.

“Pada tahun ini kami mahu memberi tumpuan kepada pengguna akhir dan meletakkan semua kemahiran yang diperlukan seperti pasukan baharu, sistem dan sumber untuk mengendalikan edaran dalam negara.

“Sebanyak RM1 juta diperuntukkan untuk penjenamaan dan pemasaran.

“Kami berharap dapat menguasai 25 peratus bahagian pasaran tempatan menjelang akhir tahun ini dan mahu rakyat Malaysia mengenali kualiti jenama ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 9:00 AM