SHAMSUL (kanan) bersama tenaga pengajar Azizan Man. FOTO Mahzir Mat Isa
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Akademi Al Badar komited membantu lebih ramai masyarakat celik Al-Quran menerusi modul Sistem Genius Belajar Membaca Al-Quran dengan kaedah Al-Badar.

Pengasasnya, Shamsul Mohd Nor berkata, modul itu dibangunkan sejak tahun 2000 dan membantu ramai pelajarnya mempelajari Al-Quran dengan cara lebih mudah dan pantas.

Katanya, Sistem Genius Belajar Membaca Al-Quran itu juga mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ).

“Modul ini juga sudah diguna pakai di Sabah dan Sarawak kerana ia mudah difahami, malah kami memberi jaminan untuk pelajar pandai membaca Al-Quran dalam tempoh tiga hari jika mengikut waktu jam pembelajaran yang ditetapkan.

“Kami bukan saja menyediakan modul celik Al-Quran, tetapi juga kelas dan modul tajwid serta kelas tafsir dan tadabbur.

“Selain itu, Akademi Al Badar turut bekerjasama dengan Rumah Ngaji Malaysia (RNM) dan terdapat lebih 1,200 RNM di seluruh negara yang menggunakan kaedah dan modul yang dikeluarkan Al-Badar,” katanya.

Menurutnya, Akademi Al Badar mempunyai lima cawangan iaitu di Sri Gombak, Tasik Putri, Tun Perak, Seri Kembangan dan Taman Samudera.

Beliau berkata, pihaknya juga menerima pendaftaran daripada pelajar bermula umur tujuh hingga 70 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 8:41 AM