Hazwan Faisal Mohamad
hazwanfaisal@bh.com.my


KUALA LUMPUR: Dasar Automotif Negara 2019 (NAP 2019) yang bakal dilancarkan tidak lama lagi dijangka memberi peluang lebih adil kepada semua pengeluar kenderaan cekap tenaga (EEV) tempatan.

Penganalisis Maybank IB Research, Ivan Yap berkata, perkara itu antara satu daripada tiga strategi yang diberi keutamaan dalam taklimat oleh Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri Antarabangsa Dr Ong Kian Ming.

Menerusi strategi itu, katanya, kerajaan akan menyemak semula permohonan insentif EEV mengikut keperluan yang diperkenalkan pada NAP 2014 lalu yang mana ia mampu menawarkan ‘peluang sama sama rata’ kepada semua pengeluar EEV tempatan.

“Menyorot kembali NAP 2014, setiap pengeluar EEV boleh terbabit dalam rundingan terus bagi mendapatkan insentif khusus berdasarkan keperluan dan sumbangan daripada pengeluar terbabit.

“Namun dengan penyeragaman struktur insentif duti/cukai yang boleh diubah-ubah ketika ini mampu menawarkan peluang sama rata kepada semua pihak.

“Tambahan lagi, bagi menambah baik ketelusan dan tempoh waktu kelulusan insentif bagi pengeluar EEV, Jawatankuasa Pembangunan Perniagaan Automotif (ABDC) akan bermesyuarat dua kali sebulan berbanding hanya sekali ketika ini,” katanya dalam nota penyelidikan.

Yap berkata, menerusi NAP yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, pihaknya turut berharap akan terdapat pengumuman berhubung dasar mengehadkan jangka hayat kenderaan (ELV).

Katanya, ia sejajar dengan jumlah kenderaan yang terlalu tinggi di atas jalan raya terutamanya di negeri seperti Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang.

“Ini menyebabkan kami amat percaya dasar ELV perlu dilaksankan bagi mengurangkan bilangan kenderaan yang sudah tidak layak berada di jalan raya dengan kemampanan jangka panjang untuk ekosistem automotif negara selain ia juga menyokong projek kereta nasional ketiga kerajaan.

“Bagaimanapun, kami percaya pelaksanaan dasar ELV ini perlu dijalankan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang bagi memberi persediaan kepada pengguna dan industri terhadap pelaksanaannya.

“Antara kebimbangan yang perlu ditangani termasuk impak jumlah kepada industri dengan sasaran terhadap kereta berusia lebih 20 tahun perlu dibuat terlebih dahulu.

“Selain itu, perlu diketahui sama ada bilangan pusat pemeriksaan mencukupi atau tidak dengan pusat servis kereta sedia ketika ini juga boleh dibenarkan untuk menjalankan pemeriksaan dan terakhir insentif yang mahu diberikan kepada pemilik bagi melupuskan kereta mereka untuk membeli kereta baharu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 11:46 AM