PENERBANGAN dari Kuala Lumpur ke Chiang Rai kukuh hubungan antara Malaysia dan Thailand.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Airasia mengukuhkan hubungan antara Malaysia - Thailand dengan pelancaran laluan baharu dari Kuala Lumpur ke Chiang Rai iaitu hab ketujuh dan terbaru di Thailand.

AirAsia Thailand yang akan menempatkan pesawat Airbus A320ceo di Lapangan Terbang Antarabangsa Mae Fah Luang, Chiang Rai akan mengendalikan perkhidmatan baharu ke Phuket, Singapura dan Macau serta dijangka membantu membangunkan komuniti pelancongan dan dan perniagaan tempatan.

AirAsia kini mengendalikan enam laluan keluar dan masuk ke ibu negeri wilayah utara Thailand termasuk perkhidmatan sedia ada dari Bangkok Don Mueang dan Hat Yai.

Pengarah Operasi Darat AirAsia Thailand, Witchunee Kuntapeng berkata, pembukaan hab baharu di Chiang Rai adalah seperti membina rumah baharu.

“Di Chiang Rai, kami akan menempatkan pesawat Airbus A320ceo dan melantik kakitangan baharu yang terdiri daripada komuniti tempatan.

“Chiang Rai mempunyai potensi besar untuk menjadi destinasi pelancongan utama di Thailand dengan budaya Lanna yang unik dan cara hidup suku kaumnya yang mendapat perhatian global, baru-baru ini,” katanya.

Menurutnya, pihaknya percaya ini adalah masa yang tepat untuk mempromosikan Chiang Rai kepada pelancong dan pihaknya berbesar hati melihat empat laluan baharu antara Chiang Rai dan Phuket, Macau, Singapura dan Kuala Lumpur diterima baik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 11:35 AM