Mohd Zaky Zainuddin
bisnes@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: BMW Group Malaysia menyasarkan untuk sekali lagi mengulangi rekod jualan cemerlangnya di negara ini pada 2019, sekali gus mengulangi prestasi pada tahun lalu.

Ketua Komunikasi Korporatnya, Sashi Ambi, berkata rekod jualan 14,338 unit yang dicapai tahun lalu menjadi sandaran syarikat untuk dikekalkan tahun ini.

“Kami menyasarkan untuk menyamai rekod jualan BMW Group Malaysia tahun 2018. Namun untuk melepasi angka itu agak mencabar.

“Banyak cabaran yang akan dihadapi tidak hanya kami malah jenama lain dan industri automotif tahun ini disebabkan persekitaran ekonomi yang mencabar.

“Bagaimanapun, kita akan menggunakan langkah dan strategi yang ditetapkan untuk mendepani cabaran ini,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran kemudahan pengecas BMW i di sini, baru-baru ini.

Kemudahan itu dilancarkan oleh Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl.

Tahun lalu, BMW Group Malaysia menjual 14,338 unit merangkumi 12,008 unit kereta BMW, 1,200 unit MINI dan 1,130 unit BMW Motorrad.

Ia 13 peratus lebih tinggi berbanding 12,681 unit yang dicatatkan pada 2017, sekali gus mencatatkan pertumbuhan jualan positif tahun kelapan berturut-turut.

Sashi berkata, BMW Group Malaysia akan memperkenalkan pelbagai model dan varian baharu tahun ini bagi meningkatkan pilihan pelanggan.

“Jika tahun lalu sebanyak 12 model atau varian baharu diperkenalkan, tahun ini kami menjangkakan jumlahnya lebih kurang sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 10:01 AM