PERODUA Aruz. FOTO arkib NSTP
Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my


PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) menegaskan bahawa pihaknya akan mengekalkan harga Perodua Aruz dan spekulasi bahawa berlaku peningkatan harga bagi model berkenaan adalah tidak benar.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin berkata, pihaknya menyangkal spekulasi bahawa akan berlaku peningkatan harga Perodua Aruz.

“Saya ingin menjelaskan bahawa kami akan mengekalkan harga Aruz yang bernilai RM72,900 untuk varian X dan RM77,900 (Advance)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Perodua mencatatkan jualan lebih 20,100 kenderaan pada bulan pertama tahun ini termasuk 1,025 unit Aruz telah didaftarkan pada akhir Januari lalu.

"Walaupun berlaku sedikit kelewatan dalam proses pendaftaran Aruz, kami berjaya memaksimumkan penyerahan Aruz dalam jangka masa singkat demi memanfaatkan cuti perayaan Tahun Baru Cina.

“Permintaan yang tinggi untuk Aruz telah meningkatkan tempoh menunggu. Kami akan berusaha melakukan yang terbaik untuk mengurangkan tempoh menunggu," katanya.

Menurutnya, pada masa ini, komposisi pesanan bagi Aruz adalah 85 peratus untuk varian Advance (harga pada RM77,900 tanpa insuran) dan baki 15 peratus adalah untuk varian X (harga pada RM72,900 tanpa insuran).

Bagi permintaan model-modelnya yang lain, Zahari berkata, Perodua Myvi masih mengungguli jualan dengan lebih 8,400 unit dijual pada Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 2:28 PM