KAMARUZZAMAN (dua dari kiri) diiringi Zulkifly (tiga dari kiri) melawat kompleks penyelidikan ketika majlis pembukaan Kompleks R&D Pusat Agro Teknologi Kulim di Kota Tinggi, semalam. FOTO Hairul Anuar Rahim
HM Digital

Kota Tinggi: Johor Corporation (JCorp) menerusi Kulim (Malaysia) Berhad (Kulim) melancarkan pembukaan kompleks penyelidikan dan pembangunan (R&D) Pusat Agro Teknologi Kulim membabitkan kos pembangunan keseluruhan berjumlah RM20 juta.

Pusat Agro Teknologi Kulim yang dibina di atas kawasan seluas 2.87 hektar dan sudah beroperasi sepenuhnya pada suku ketiga tahun lalu itu adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan Johor untuk membudayakan sains dan teknologi serta mencipta nilai baharu dalam R&D.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, kompleks berkenaan akan menempatkan lima bahagian operasi iaitu biak baka tanaman, kultur tisu, makmal kimia, genomik dan mikrobiologi serta pentadbiran agronomi dan khidmat nasihat.

“Dengan adanya kompleks ini secara tidak langsung akan membantu Kulim mengembangkan bidang penyelidikannya, bukan saja memberi fokus kepada tanaman kelapa sawit, bahkan juga tanaman lain seperti kelapa dan nanas.

“Impak R&D ini akan menghasilkan buah tandan kelapa sawit yang segar dan kandungan minyak yang tinggi sekali iaitu kini sekitar empat tan (minyak) sehektar kepada tujuh sehingga sembilan tan sehektar dengan mengekalkan keluasan ladang yang sama,” katanya yang juga Pengerusi Kulim.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kulim, Zulkifly Zakariah berkata, pembinaan kompleks R&D itu menunjukkan komitmen Kulim dalam memastikan pembangunan industri sawit lebih berdaya saing dan mampan.

“Kami berharap, pembinaan kompleks ini menjadi titik tolak untuk Kulim terus meneroka pelbagai bidang kajian bagi penambahbaikan hasil keluaran kami seperti genetik molekul dan teknologi mikrob,” katanya.

Reka bentuk Pusat Agro Teknologi Kulim diinspirasikan daripada pohon pokok kelapa sawit yang juga simbolik kepada bisnes utama Kulim iaitu perladangan sawit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 11:02 AM