SYED Azhar (kanan)
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Elang Wah Sdn Bhd, pengendali perkhidmatan bas pelancong KL Hop-On Hop-Off (KL HOHO) menyasarkan peningkatan penumpang domestiknya kepada 20 peratus tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Azhar Syed Nadzir berkata, selain di Kuala Lumpur, pihaknya juga beroperasi di Pulau Pinang.

Katanya, setakat ini jumlah penumpang domestik 10 peratus daripada 250,000 keseluruhan penumpang yang direkodkan tahun lalu.

“Kami optimis jumlah itu dapat dicapai, malah kami juga menjalin kerjasama dengan MATTA bagi memberi tawaran harga menarik sempena pameran MATTA yang berlangsung Mac depan.

“Buat masa ini, kami mempunyai 15 bas KL HOHO yang beroperasi membawa pelancong dari dalam dan luar negara.

“Perancangan untuk menambah bas belum ada lagi, namun jika ada permintaan yang tinggi kami akan pertimbangkan,” katanya.

Menurutnya, syarikat juga akan memperkenalkan laluan baharu antaranya ke pusat beli-belah Mid Valley.

Sementara itu, Syed Azhar berkata, pihaknya mencari peluang meluaskan operasi ke negeri lain.

“Kami masih belum boleh berkongsi lokasi yang tepat, namun kami jangka ia akan dimuktamadkan tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, KL HOHO juga berada di kedudukan kelima di dunia yang menerima kehadiran pelancong paling ramai.

Katanya, harga tiket yang ditawarkan kepada pelanggan juga sangat berpatutan iaitu RM55 bagi pelancong asing (dewasa) dan hanya RM25 bagi warga tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 8:48 AM