HUAWEI berada di kedudukan ke-500 pada 2016 dan melonjak sehingga tangga ke-12 pada 2019.
HM Digital

Kuala Lumpur: Huawei, gergasi peranti teknologi dan elektronik dari China merekodkan prestasi cemerlang apabila berjaya berada di kedudukan ke-12 pada 2019 iaitu lonjakan besar dari tangga ke-25 pada 2018, menurut Laporan Global Brand Value of the Top 500.

Berdasarkan laporan itu, Huawei mencatatkan nilai jenama berjumlah AS$62.28 bilion (RM254.7 bilion) dengan kadar pertumbuhan 63.7 peratus pada tahun ini berbanding tahun lalu.

Pencapaian itu sekali gus membuktikan syarikat teknologi dan peranti elektronik itu adalah antara jenama paling pantas berkembang di dunia.

“Pada 2016, apabila jenama itu pertama kali disenaraikan dalam laporan ini, Huawei berada di kedudukan ke-500.

“Dengan prestasi yang luar biasa merentasi pelbagai pasaran, pengaruh jenama Huawei itu terus mengukuh dan nilainya terus maju pada asas yang positif dan sentiasa konsisten,” katanya.

Huawei juga sekali lagi membuktikan bahawa gergasi teknologi itu berupaya mengambil alih pasaran telefon pintar menerusi pengumuman kejayaannya menjual 200 juta unit telefon pintar pada 2018.


MODEL P20 dapat permintaan lebih 17 juta unit di seluruh dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Pengguna Huawei, Yu Chengdong berkata, di sebalik pertumbuhan pesat nilai jenama Huawei itu, perkembangan prestasi syarikat itu adalah lebih pesat lagi.

Chengdong berkata, pada tahun lalu, perniagaan pengguna Huawei mencapai perolehan lebih AS$50 bilion (RM205 bilion) dan penghantaran telefon pintar global melebihi 206 juta unit.

“Malah, siri Huawei P20 turut mendapat permintaan lebih 17 juta unit seluruh dunia dan Huawei Mate 20 yang dihantar pada Oktober tahun lalu melebihi 7.5 juta unit,” katanya.

Dalam tempoh beberapa tahun ini, Huawei banyak memperkenalkan inisiatif yang pertama kalinya di dunia seperti siri Huawei P20 dengan kamera Dual Leica.

Selain itu, jenama itu juga adalah pengeluar telefon pintar pertama menggunakan cip Dual NPU Kirin 980 berasaskan kecerdasan buatan (AI) pada siri Huawei Mate 20, menjadikannya sebagai peneraju industri.

Pada tahun ini, segmen perniagaan pengguna Huawei akan memfokus kepada AI dan Internet Kebendaan (IoT) bagi menyediakan produk terminal pintar bagi pengguna global.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 12:02 PM