MENTERI Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof. FOTO Azhar Ramli
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) melancarkan program Profesional Training And Education For Growing Entrepreneurs atau PROTEGE sebagai usaha untuk mewujudkan peluang pekerjaan melalui platform keusahawanan.

PROTEGE adalah penjenamaan semula Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) yang diberi suntikan elemen latihan keusahawanan bagi melahirkan lebih ramai usahawan berdaya maju seiring dengan Rangka Kerja Keusahawanan Nasional (NEF).

Menteri Pembangunan Usahawan (MED) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, bagi tahun pertama ia dilaksanakan, kementerian menyasarkan untuk melahirkan 15,000 usahawan atau pelatih dari PROTEGE yang mana mereka akan diberikan elaun bulanan RM2,000.

Beliau berkata, PROTEGE membantu graduan dalam latihan pekerjaan dengan penempatan dalam industri dan antara program yang akan dijalankan ialah PROTEGE Ready To Work (RTW) dan tujuh lagi program di bawahnya.

“PROTEGE bukan saja menyasarkan penyertaan kepada graduan, malah terbuka kepada semua peringkat khususnya golongan berpendapatan rendah yang ingin mendapat latihan keusahawanan dan pekerjaan.

“Malah, kementerian juga akan memperkemas kerjasama antara agensi di bawah MED dalam pelaksanaan program selain membantu usahawan mengembangkan perniagaan ke peringkat lebih tinggi,” katanya pada majlis pelancaran PROTEGE di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri MED Datuk Dr Mohd Hatta Ramli dan Ketua Setiausaha MED Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Ia turut dihadiri Pengerusi Tenaga Nasional Bhd (TNB) Tan Sri Leo Moggie, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Azman Mohd dan Ketua Sekretariat PROTEGE Norashikin Ismail.

Mohd Redzuan berkata, rakan strategik program ini terdiri daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat G20 serta syarikat swasta dan syarikat yang mendapat kontrak perolehan kerajaan.

“Antara rakan strategik baharu bagi program ini termasuklah syarikat pembangunan vendor (VDP) dan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat pemula dan koperasi.

“Syarikat yang menyertai program ini akan menikmati insentif seperti potongan cukai berganda dan Skim HRDF serta satu lagi insentif yang akan diperkenalkan kemudian,” katanya.

Berdasarkan statistik program SL1M pada 31 Disember 2018, seramai 226,251 peserta terbabit dalam program latihan SL1M, motivasi dan temu duga yang mana 132,261 peserta dibantu dan 70 peratus berjaya ditawarkan pekerjaan.

Antara GLC yang menyertai SL1M termasuklah TNB, Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan CIMB, Lembaga Tabung Haji dan Celcom.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 10:53 AM