PENGARAH Urusan, Senheng Electric (KL) Sdn Bhd, Lim Kim Heng. FOTO Rohanis Shukri

MODEL perniagaan berasaskan sistem seamless yang dilaksanakan oleh Senheng Electric (KL) Sdn Bhd (Senheng) sejak 2017 adalah kunci kejayaan kepada kedudukan syarikat itu.

Pengarah Urusannya, Lim Kim Heng berkata, sebagai rangkaian kedai elektronik pengguna terkemuka pihaknya tidak terkecuali dalam berdepan dunia perniagaan berteknologi yang baharu seperti e-dagang.

Beliau berkata, sebelum menjalankan model perniagaan seamless itu, pihak syarikat mengalami kerugian sehingga lima peratus pada 2014, 2015 dan 2016 sebelum bangkit semula pada dua tahun lalu.

Menerusi idea perniagaan berteraskan seamless itu, Senheng menumpukan pendigitalan perniagaannya serta memperkukuh gedung fizikal sedia ada di samping pengukuhan logistik.

Malah, baru-baru ini, Senheng terus mencipta nama apabila meraih lapan anugerah dalam majlis penuh prestij, Star Outstanding Business Awards (SOBA) 2018, sekali gus menjadikan ia syarikat pertama yang menerima anugerah paling banyak sejak ia diperkenalkan.

Antaranya adalah Anugerah Perniagaan Tahunan, Anugerah Terbaik dalam Pemasaran, Anugerah Jenama Terbaik, Anugerah CSR dan Anugerah Majikan Terbaik.

“Sejajar dengan penekanan terhadap teknologi dalam model perniagaan seamless ini, kami turut meraih Anugerah Inovasi Terbaik dan Anugerah Penggunaan Teknologi.

“Model perniagaan ini meletakkan Senheng pada posisi terbaik sebagai perintis dalam perniagaan pengguna alat perkakas dan elektronik yang turut menfokus kepada online dan offline.

“Kami juga berusaha menjadi kedai dalam talian terbesar di Malaysia kerana ia diyakini mampu memberikan pengalaman yang lebih baik kepada pembeli,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, semalam.

Selain itu, Lim turut dinobatkan sebagai Usahawan Pencapaian Terbaik bagi kategori syarikat dengan keuntungan melebihi RM25 juta.

Senheng ketika ini mempunyai 112 cawangan di seluruh negara dan pada masa sama ia turut disokong oleh 10 gudang bagi melicinkan operasi logistik dan sistem penghantarannya.

Lim berkata, selain menumpukan kepada bidang perniagaan, pihaknya tidak mengenepikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan membantu 23 kelab badminton di Malaysia sebagai usaha untuk melahirkan atlet berkelas dunia.

“Ia adalah perkara yang perlu dilaksanakan dan saya begitu berharap sumbangan ini dapat menyumbang kepada negara dan membawa nama Malaysia ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 10:44 AM