Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


KAMERA utama resolusi tinggi dengan kekuatan 48 megapixel (MP) dan dikuasakan pemproses generasi baru 7nm Kirin 980 menjadi taruhan terbaru e-jenama pengeluar telefon pintar ternama, HONOR.

HONOR melancarkan model telefon pintar mercu miliknya iaitu View20 secara global di Paris, dan ia menampilkan teknologi termoden sekali gus meletakkan tahap baharu untuk barisan telefon pintar.

Presiden HONOR, George Zhao berkata, telefon pintar itu mendapat pujian pengkritik profesional dan peminat dengan menawarkan teknologi terbaru.

"HONOR View20 direka untuk memenuhi keperluan pengguna dan berdasarkan tujuan berkenaan, View20 dikeluarkan untuk memberikan teknologi terbaik serta termaju tanpa mengabaikan rekaan yang lebih menarik," katanya.

Majlis pelancaran diadakan di di Teater Selle Pleyel, di Paris.

Berdasarkan pendedahan pertama model itu, ia mempamerkan spesifikasi termaju dan mempunyai dua varian berbeza.

View20 bukan saja menawarkan kekuatan resolusi kamera dan pemproses terkini, sebaliknya ia adalah telefon pintar pertama yang menggunakan lensa kamera swafoto paling kecil dengan skrin paparan terbina.

Kamera utama View20 adalah telefon pintar pertama yang menggunakan SONY IMX586 48MP dengan sensor CMOS bagi menghasilkan imej berkualiti.

Penggunaan pemproses 7nm Kirin 980 turut menyokong teknologi Kecerdasan Buatan (AI) terhadap kamera utama sekali gus menghasilkan imej yang lebih terperinci dan struktur warna lebih jelas.


MAJLIS pelancaran global HONOR View 20 di Paris. FOTO Muhammad Saufi Hassan

View20 juga adalah telefon pintar pertama yang menggunakan rekaan teknologi 'Nanolithography' untuk menghasilkan tekstur nano yang boleh dilihat di bahagian belakang.

Teknologi nanolithography adalah kaedah untuk menghasilkan rekaan untuk melakukan permukaan material dengan struktur di bawah 100nm sekali gus menghasilkan rekaan yang cantik.

Pada majlis itu, dua varian diperkenalkan iaitu HONOR View20 yang mempunyai spesifikasi memori 6GB dan storan 128GB.

Bagi model ini, harga ditawarkan adalah RM1,999 dan pengguna mempunyai dua pilihan warna iaity Midnight Black dan Sapphire Blue.

Untuk varian kedua, telefon pintar itu akan dikuasakan dengan memori 8GB dan storan 256GB, manakala warna pilihan adalah Phantom Blue versi rekaan Moschino.

Harga untuk varian ini adalah RM2,499 memandangkan kapasiti storan dan memori lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 12:57 AM