KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Ambank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Zamree Mohd Ishak di majlis pertukaran dokumen Ambank (A) Berhad & Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad. FOTO Rohanis Shukri.
Suffian A Bakar
suffian@nstp.com.my

CREDIT Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) menjangka dapat meluluskan jaminan dan pembiayaan bernilai RM4.6 bilion tahun ini, kata Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak.

Beliau berkata, angka itu akan memberi manfaat kepada 9,800 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

CGC, katanya turut mensasarkan pertumbuhan 20 peratus dalam pendapatan perniagaannya kepada RM280 juta pada 2019, daripada sasaran 2018 berjumlah RM236 juta, didorong oleh jaminan, pembiayaan langsung dan tawaran pensekuritian aset.

"Kami ingin menjangkau lebih banyak lagi PKS melalui platform iSME iaitu platform pembiayaan dalam talian khas untuk mereka, " katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pertukaran dokumen antara AmBank Bhd dan CGC bagi pengaturan Jaminan Portfolio (PG) bernilai RM100 juta di sini, hari ini.

Pengaturan itu adalah bagi membolehkan Proton Edar Sdn Bhd mendapat akses pembiayaan menerusi PG CGC bernilai RM100 juta.

"Strategi CGC tahun ini ialah memanfaatkan teknologi untuk menjadikannya lebih berkesan dalam jangkauannya kepada PKS," kata Mohd Zamree.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 3:28 PM