ZURAIDAH melancarkan program BERNAMA Property Hot Seat Presented by Sunsuria, semalam. FOTO BERNAMA
Sri Ayu Kartika Amri dan Nabil Basaruddin
bisnes@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Isu lambakan rumah siap tidak terjual dalam pasaran hartanah negara dijangka dapat dikurangkan menerusi ekspo pemilikan rumah yang akan dianjurkan pada 1 hingga 3 Mac depan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, rumah yang tidak terjual dalam pasaran sebelum ini akan diberikan diskaun pada ekspo berkenaan.

Beliau berkata, ekspo pemilikan rumah itu juga akan disertai pihak bank bagi membantu prosedur pembiayaan rumah.

“Rumah yang siap dibina namun tidak terjual dan menjadi lambakan di pasaran dijangka dapat diatasi menerusi ekspo pemilikan rumah pada Mac depan.

“Kerajaan turut komited membangunkan 100,000 rumah mampu milik setiap tahun, seterusnya mencapai sejuta rumah mampu milik oleh rakyat negara ini dalam 10 tahun.

“Bagaimanapun, ia bukan saja tugas KPKT tetapi ia perlu dilakukan dengan sokongan dan kerjasama kerajaan negeri dan pemain swasta,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran program BERNAMA Property Hot Seat Presented by Sunsuria di sini, semalam.

Menurut data diterbitkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menunjukkan bilangan kediaman tidak terjual di negara ini meningkat kepada 30,115 unit pada suku ketiga 2018.

Jumlah itu adalah peningkatan 48.35 peratus berbanding 20,304 unit pada tempoh sama tahun sebelumnya membabitkan jumlah RM19.54 bilion.

Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata, kumpulan isi rumah berpendapatan menengah (M40) tidak akan ditekan model subsidi bersilang kerana rumah mampu milik kebanyakannya dibina kerajaan.

“Perkara ini tidak menjadi isu sebenarnya kerana syarikat swasta dipelawa untuk turut sama menyediakan kediaman, perkhidmatan dan lokasi terbaik kepada masyarakat.

“Jika syarikat swasta merasakan mereka mampu menyediakan kediaman lebih baik, mereka dialu-alukan untuk turut sama dalam pasaran terbuka ini.

“Namun, kami akan mengawalnya untuk memastikan apabila membina rumah mampu milik bagi kumpulan 40 peratus pendapatan terendah (B40), mereka harus mengikut dasar yang kerajaan tetapkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 11:00 AM