SAM (kanan) pada majlis pelancaran Laporan ECF 2018 syarikat. FOTO Amirudin Sahib
BERNAMA

Kuala Lumpur: Platform pendanaan awam ekuiti Pitch Platforms Sdn Bhd, PitchIN merancang untuk mengumpulkan sebanyak RM16 juta melalui 16 tawaran pada tahun ini berbanding RM13.6 juta yang terhimpun dalam lapan tawaran pada 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif PitchIN, Sam Shafie berkata, pelabur dilihat sudah mula cenderung untuk memasuki pasaran khususnya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan oleh itu, industri pendanaan awam ekuiti (ECF) juga mendapat tempias dan akan lebih bertenaga.

“Orang ramai berwaspada pada tahun lalu disebabkan ketidaktentuan yang menyelubungi PRU14. Amat jelas sekali, faktor domestik menjadi penentu dalam menentukan sentimen pasaran.

“Bagaimanapun, sejak Jun 2018, kita mula mencatatkan transaksi hampir setiap bulan sehingga menjelang Disember pada tahun lalu,” katanya selepas majlis pelancaran Laporan ECF 2018 syarikat itu di sini.

Ketika mengulas mengenai unjuran 2019, katanya, indikator mengenai arah ECF hanya dapat dilihat selepas suku tahun pertama tahun ini.

“Melihat gambaran industri secara menyeluruh, bilangan tawaran yang berjaya dicatatkan oleh keseluruhan industri ECF menurun kepada 14 kempen (pendanaan awam) pada 2018 berbanding 22 kempen pada 2017.

“Daripada 22 kempen ini, lapan tawaran disumbangkan oleh kami, ia mewakili 57 peratus pasaran untuk tawaran ECF pada tahun lalu,” katanya.

Mengenai pasaran sekunder untuk pelabur ECF pelabur, Sam berkata, PitchIN bersedia bagi pelancaran pasaran sekunder.

“Kami tidak sabar untuk mendengar sebarang pengumuman mengenai rangka kerja pasaran sekunder yang akan dimaklumkan pada tahun ini dan ini akan menambahkan lagi kecairan yang perlu kepada pasaran ECF,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 11:00 AM