GOEL (tengah) ditemani Chef Andy Van den Broeck (kiri) dan Pengurus Inovasi & Pengubahsuaian untuk Unit Perniagaan Biskut Nestle Malaysia, Cheah Keng Kee pada pelancaran coklat Kitkat Ruby. FOTO Nik Hariff Hassan
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Produk terbaharu Nestle Malaysia, wafer bersalut coklat serba baharu yang dikenali sebagai KITKAT Ruby boleh didapati secara dalam talian di beberapa platform e-dagang pada minggu ini.

KITKAT Ruby adalah wafer jejari yang disaluti dengan coklat Ruby dengan warna merah jambu semula jadi dan ia adalah produk pertama seumpama itu di rantau Asia Tenggara.

Pegawai Eksekutif Perniagaan Unit Konfeksi (Pasaran Asean) Nestle Malaysia, Sachin Goel berkata, selain secara dalam talian, varian coklat terbaharu jenama itu juga didapati secara eksklusif di gedung KITKAT Chocolatory yang terletak di tingkat satu Mid Valley.

“Buat masa ini orang ramai boleh membuat pesanan dalam talian di Lazada, Shopee dan 11street, seterusnya pada minggu ini juga KITKAT Ruby boleh didapati di beberapa platform e-dagang utama yang lain.

“Bagi pasaran secara runcit, kami tidak melihat untuk melaksanakannya lagi kerana mahu memperkukuh produk ini dahulu.

“Sekiranya orang ramai berminat untuk mencuba produk serba inovatif KITKAT Ruby mereka boleh terus berkunjung ke gedung KITKAT Chocolatory,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran produk berkenaan dan KITKAT Chocolatory di sini, semalam.

KITKAT Ruby adalah varian coklat baharu dunia selepas coklat hitam, coklat susu dan coklat putih dalam tempoh 80 tahun tanpa sebarang perasa, pewarna atau aditif.

Ia menggunakan coklat Ruby yang dihasilkan daripada pemproses coklat dan koko Barry Callebaut dari Switzerland daripada biji coklat terpilih.

Sachin berkata, pihaknya teruja untuk membawa produk ini ke pasaran Malaysia bersama gedung Chocolatory yang pertama di rantau Asia Tenggara.

Katanya, gedung itu menawarkan peluang kepada peminat jenama itu untuk membuat gubahan KITKAT mengikut cita rasa sendiri dengan lebih 10,000 kombinasi coklat dan topping yang ditawarkan.

“Dengan konsep dapur terbuka, gedung ini membolehkan pengguna menyaksikan proses penghasilan produk KITKAT istimewa yang direka khas,” katanya.

KITKAT adalah produk konfeksi nombor satu di Malaysia yang kilang pengeluarannya di Chembong, Negeri Sembilan mempunyai pengiktirafan halal serta turut dieksport ke 14 negara lain di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 11:00 AM