ANTARA rangkaian restoran nasi kandar Pelita. FOTO Rosli Ahmad
Nur Izzati Mohamad
cnews@nstp.com.my

Butterworth: Rangkaian restoran nasi kandar Pelita Samudra Pertama (M) Sdn Bhd akan membuat tawaran awam permulaan (IPO) menjelang suku pertama tahun hadapan bagi mengembangkan perniagaan syarikat itu sebelum disenaraikan dalam Pasaran Ace Bursa Malaysia.

Pengarah Eksekutifnya Datuk KK Sihabutheen berkata, pihaknya optimis untuk mengumpul modal atau dana bagi merealisasikan rancangan membuka restoran dan hotel baru syarikat itu antara 2020 hingga 2022.

Berikutan itu, katanya, IPO itu diharap dapat membantu syarikat bagi membuka enam lagi rangkaian restoran nasi kandar dan beberapa hotel sepanjang tempoh tahun berkenaan untuk mengukuhkan perniagaan mereka.

“Kita memerlukan RM1 juta hingga RM2 juta bagi membuka sebuah restoran nasi kandar dan sekitar RM6 juta bagi membuka hotel butik bergantung kepada lokasi.

“Justeru, kita memerlukan modal dan berharap dengan tawaran IPO ini, hasrat kita untuk membuka restoran dan hotel baru ini tercapai,” katanya pada sidang media di Seberang Jaya, semalam.

Sehingga kini, Pelita mempunyai lebih 30 rangkaian restoran nasi kandar di seluruh negara termasuk di Chennai, India dengan purata pelanggan yang direkodkan melebihi 25 juta orang setahun.

Sihabutheen berkata, syarikat berharap dapat mengumpul 30 peratus modal atau dana bagi tujuan pengembangan operasi terbabit melalui tawaran IPO berkenaan yang disasarkan pada harga antara 80 sen dan RM1.

“Usaha ke arah penyenaraian awam IPO sedang dilakukan dan ia akan mengambil masa kira-kira 18 ke 24 bulan dari sekarang sebelum Pelita disenaraikan di Pasaran ACE,” katanya.

Jelasnya, tahun ini Pelita menyasarkan untuk membuka tiga lagi restoran nasi kandar di Johor, Melaka dan Nilai, Negeri Sembilan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Pelita kini dalam iniasiatif membuka sekolah swasta dengan menerapkan model pendidikan dari United Kingdom (UK) di satu lokasi dekat Perai di sini.

“Ini adalah perniagaan baru yang diteroka kami selepas restoran nasi kandar dan hotel. Lokasi sudah dikenal pasti bagi pembinaan sekolah swasta itu yang dijangka mula beroperasi dua tahun akan datang.

“Kita melaksanakan pembinaan sekolah swasta berikutan permintaan tinggi terhadap bidang pendidikan pada hari ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 1:00 PM