WAN Saifulrizal. FOTO Aziah Azmee
Syarifah Dayana Syed Bakri
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) menyifatkan teknologi baru banyak mengubah kemahuan pengguna dan pengendali takaful perlu berevolusi untuk memenuhi keperluan pelanggan.

Ketua Pegawai Pemasaran PruBSN, Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata, pengendali takaful atau insurans tidak seharusnya memberi perkhidmatan ketika pelanggan membuat tuntutan bayaran saja.

“Kewujudan teknologi baru banyak mengubah kemahuan pengguna hari ini. Oleh sebab itu, pengendali takaful dan insurans harus berevolusi menjadi teman perlindungan sepanjang perjalanan hidup pelanggan dan bukan hanya ketika mereka membuat tuntutan,” katanya.

Menurutnya, pengendali takaful juga perlu menawarkan perkhidmatan yang menyeluruh bagi memberi keyakinan kepada pelanggan.

“Ini termasuklah menghasilkan penyelesaian yang memperkayakan kesihatan pelanggan, di samping memastikan mereka turut menerima bantuan sewaktu menjalani rawatan dan pemulihan.

“Kami percaya PruBSN cukup bersedia untuk memenuhi keperluan ini, sekali gus memanfaatkan pelanggan serta pihak berkepentingan,” katanya.

Selama beroperasi, PruBSN mempelbagaikan portfolionya dan turut berkolaborasi dengan rakan teknologi kesihatan terkemuka seperti Doctor2U dan Prenetics untuk mewujudkan pelbagai platform kesihatan bagi membantu membina kehidupan menyeluruh yang lebih sihat buat rakyat Malaysia.

Sementara itu, sepanjang 2018, PruBSN menerima tiga penghormatan atas kecemerlangannya dalam inovasi produk dan komunikasi pemasaran.

Ia adalah Anugerah Emas dalam kategori Best Small Budget Campaign pada majlis anugerah Dragons Malaysia 2018 bagi Kempen Kesedaran Medikal #TipsPruBSN di Facebook Live.

Kempen itu bertujuan menangani isu berkaitan kesihatan dan kesejahteraan yang relevan dengan rakyat Malaysia.

Pada majlis Effie Awards Malaysia 2018, PruBSN turut menerima Anugerah Gangsa bagi kategori Produk dan Perkhidmatan Sektor Kewangan yang mengiktiraf keberkesanan inisiatif pemasaran bagi pelan asas PruBSN Anugerah.

Syarikat itu juga berjaya membawa pulang anugerah Excellence in Takaful Services di Malaysia Excellence Business Awards 2018 atas sumbangannya memajukan industri takaful.

Menurutnya, penghargaan itu mencerminkan kegigihan pihaknya untuk meningkatkan kesedaran kesihatan dan merapatkan jurang perlindungan bagi pelbagai segmen pasaran.

PruBSN adalah syarikat pengendali takaful yang menawarkan pelan perlindungan, simpanan dan kesihatan inovatif untuk lebih 800,000 pelanggan di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 10:34 AM