GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@nstp.com.my


MALAYSIA Airlines mengumumkan Tawaran Tahun Baru membabitkan pengurangan sehingga 30 peratus bagi tambang ke destinasi terpilih.

Bermula hari ini hingga 13 Januari 2019, penumpang boleh melakukan perjalanan ke destinasi kegemaran mereka atau meneroka tempat baru dengan tambang Kelas Ekonomi sehala termasuk semua dengan harga bermula dari RM169 ke Langkawi dan dari RM279 ke Kota Kinabalu.

Ketua Pegawai Pendapatan Malaysia Airlines, Ignatius Ong berkata, pihaknya gembira untuk meraikan permulaan tahun baru dengan memberi tawaran terbaik kepada pelanggan.

“Dengan begitu banyak hujung minggu panjang pada tahun ini, kami menggalakkan pelanggan untuk merancang perjalanan mereka terlebih dahulu dan seterusnya meneroka dunia bersama Malaysia Airlines,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pelanggan juga boleh menikmati tambang ke Singapura bermula serendah RM189, dari RM229 ke Jakarta, dari RM459 ke Hong Kong, dari RM899 ke Beijing dan dari RM1,329 ke Tokyo.

Destinasi lain yang ditawarkan adalah termasuk penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sydney bermula serendah RM1,169, Adelaide dari RM1,299 dan London dari RM1,789.

Tawaran Tahun Baru ini adalah sah untuk perjalanan segera sehingga 30 Jun 2019 dan ia boleh didapati di www.malaysiaairlines.com.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 10:26 PM