ANTHONY (tengah) bersama Izham (dua dari kanan, berdiri) ketika menyaksikan majlis menandatangani perjanjian di Putrajaya, semalam.
Hazwan Faisal Mohamad
hazwanfaisal@nstp.com.my


PUTRAJAYA: Maswings Sdn Bhd mendapat kebenaran untuk menyediakan operasi penerbangan di 39 laluan di Sabah dan Sarawak menerusi perjanjian baharu Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS).

Selain Maswings, AirAsia Bhd juga diberi kepercayaan untuk menyediakan operasi penerbangan di laluan Kota Kinabalu-Sibu dan Kota Kinabalu-Bintulu menerusi perjanjian baharu.

Di bawah perjanjian itu, Maswings akan menyediakan perkhidmatan bagi 39 laluan mulai 1 Januari 2019 berbanding 49 laluan sebelum ini di kedua-dua negeri berkenaan menggunakan pesawat ATR72 dan Twin Otter Viking.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, pada masa sama Maswings juga akan menambah laluan bagi destinasi RAS sedia ada iaitu Limbang-Kuching (tiga kali seminggu menggunakan pesawat ATR72), Long Lellang-Bario (sekali seminggu menggunakan pesawat Twin Otter) dan Long Seridan-Bario (sekali seminggu menggunakan pesawat Twin Otter).

Maswings turut menyediakan perkhidmatan kargo khas di antara Miri-Bario, Ba’kelalan, Long Seridan, Long Lellang, Long Akah dan Long Banga (sekali seminggu bagi setiap laluan menggunakan pesawat Twin Otter yang akan diperkenalkan secara berperingkat.

Loke berkata, di bawah perjanjian baharu itu, mekanisme pemberian subsidi diubah daripada mekanisme berasaskan kerugian operasi RAS dan insentif kewangan kepada mekanisme yang terikat dengan prestasi operasi dan kewangan.

“Insentif diberikan dalam bentuk pembayaran yuran pengurusan tertakluk kepada prestasi operasi dan kewangan. Justeru, kementerian memperuntukkan RM190 juta bagi pembayaran insentif berkenaan tahun ini.

“Namun, bayaran penalti akan dikenakan kepada Maswings bagi perkhidmatan yang tidak memuaskan dan tidak mencapai tahap petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan termasuk dari segi prestasi ketepatan masa, kadar pembatalan operasi penerbangan, skor kepuasan pengguna dan sebarang faktor yang dirasakan perlu oleh kerajaan,” katanya selepas majlis memeterai perjanjian itu di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Sa​ripuddin Kasim, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Bhd Kapten Izham Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd Tan Sri Tony Fernandes dan Pengerusi Eksekutif AirAsia Datuk Kamarudin Meranun.

Penetapan destinasi dan laluan RAS berdasarkan Obligasi Perkhidmatan Awam (PSO) di bawah Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771).

PSO ditakrifkan sebagai mengadakan perkhidmatan bagi membawa melalui udara atau penggunaan mana-mana pesawat udara untuk membawa penumpang, mel atau kargo untuk sewa atau upah bagi suatu perjalanan berjadual. di antara aerodrom yang tidak akan dibuat syarikat penerbangan, jika syarikat penerbangan itu hanya menimbangkan kepentingan komersial semata-mata.

Mengulas lanjut Loke berkata, kerajaan akan meneliti penambahan empat destinasi baharu bagi RAS iaitu Long Pasia di Sabah dan Kapit/Bukit Mabong, Belaga dan Long Silat di Sarawak.

Namun katanya, penambahan destinasi berkenaan tertakluk kepada ketersediaan infrastruktur penerbangan berkaitan termasuk kos, lokasi dan faktor lain yang berkaitan.

“Selain itu, enam laluan RAS yang disediakan Maswings sebelum ini iaitu Kota Kinabalu-Sandakan, Kota Kinabalu-Tawau, Kota Kinabalu-Miri, Kuching-Miri, Kuching-Bintulu dan Kuching-Sibu dikelaskan kepada laluan komersial sepenuhnya mulai 1 Januari lalu.

“Ini kerana semua laluan berkenaan sudah tidak lagi memenuhi takrifan PSO dan tidak layak untuk dikategorikan sebagai RAS di bawah Akta 771 memandangkan laluan terbabit turut dioperasikan secara bersama oleh Maswings dengan syarikat penerbangan lain,” katanya.

Kerajaan pada 16 November 2018 bersetuju supaya dua laluan iaitu Kota Kinabalu-Sibu dan Kota Kinabalu-Bintulu dikeluarkan daripada senarai laluan RAS dan diklasifikasikan sebagai laluan komersial mulai 1 Januari lalu.

Penyediaan operasi di dua laluan ini akan diberikan secara eksklusif kepada AirAsia selama enam tahun sehingga 31 Disember 2024.

Syarikat itu akan dikenakan penalti sehingga RM3 juta setahun jika gagal beroperasi dalam tempoh ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 9:47 PM