PELANCARAN SUV X70 adalah fokus utama Proton tahun lalu.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (Proton) mengumumkan 10 pencapaian terbaiknya pada 2018 yang disifatkan sebagai tahun sibuk buat pengeluar kereta nasional itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Li Chunrong berkata, model kenderaan sukan pertama (SUV) Proton iaitu X70 yang dilancarkan pada hujung tahun lalu menjadi fokus utama bagi sorotan 2018 kerana ia dianggap sebagai kereta tahunan bukan saja untuk Proton, malah seluruh industri automotif di negara ini.

Model terbaru itu mendapat liputan meluas daripada media dengan usaha publisiti prapelancarannya dijalankan sejak awal 2018 dan undian nama secara dalam talian dilancarkan pada 14 April bagi membolehkan rakyat Malaysia memilih nama yang sesuai.

“Undian ini mendapat maklum balas hebat dan nama yang paling banyak dipilih ialah Proton X70 kerana ia adalah nama yang mudah serta sesuai digunakan dalam pelbagai pasaran eksport,” katanya dalam kenyataan di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, tahun lalu menyaksikan Proton turut melancarkan cabaran PROTON 1-Tank Adventure pada Julai yang menyaksikan pemilik Proton Iriz, Persona dan Saga bersaing bersama media dan individu berpengaruh untuk meneroka keindahan ke beberapa negeri di Malaysia dengan hanya menggunakan satu tangki minyak.

Menurutnya, pengukuhan kerjasama antara Geely dan Proton melalui acara menandatangani Perjanjian Dasar Induk diadakan di China pada Ogos 2018 untuk meneroka rancangan masa depan bagi mengeluar dan menjual kereta Proton di negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 11:00 AM