CHAN (empat kiri belakang) bersama 10 selebriti media sosial berpengaruh terkemuka Asia pada majlis pratonton media program The Amazing Sunway City Challenge di Sunway Resort Hotel & Spa, Bandar Sunway.
HM Digital

Petaling Jaya: Sunway Malls mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun antara 10 hingga 15 peratus pada tahun ini meskipun berdepan dengan persekitaran ekonomi yang mencabar.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Beli-Belah dan Taman Tema Sunway, Chan Hoi Choy berkata, prestasi itu turut disokong oleh perkembangan dalam perkhidmatan E-hailing ke pusat beli-belah sebanyak lima hingga tujuh peratus.

Beliau berkata, sebagai pengendali pusat beli-belah, pihaknya turut menghadapi cabaran dari segi ruang runcit yang berlebihan dan peningkatan dari sektor e-dagang.

“Kami yakin untuk mengatasi perkara ini memandangkan Sunway Malls mempunyai rekod panjang dalam industri di negara ini dan menjadi peneraju dalam pasaran.

“Tahun 2018 adalah mencabar bagi kami namun kami berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan dan terus optimis bagi operasi dan prestasi pusat beli-belah pada tahun depan.

“Apa yang penting usaha berterusan syarikat mendekati dan menarik lebih banyak pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran The Amazing Sunway City Challenge yang disertai 10 individu berpengaruh Asia di sini, semalam.

Chan berkata, bagi mengekal serta memperkukuh pusat beli-belah di bawah kendalian Sunway Malls, pihaknya merancang memperkenalkan beberapa perkhidmatan berasaskan teknologi pada 2019.

Bulan lalu, Sunway Pyramid, pusat beli-belah di bawah Sunway Malls memperkenalkan penggunaan sistem pengenalan nombor pendaftaran kereta bertujuan mengurangkan kesesakan di tempat meletak kereta.

Dalam pada itu, beliau berkata, pada musim perayaan pada Disember ini, dua pusat beli-belahnya, Sunway Pyramid dan Sunway Velocity merekodkan trafik pengunjung tertinggi.

“Ini memberikan gambaran yang baik kepada syarikat untuk mencapai pertumbuhan yang lebih baik pada tahun depan, sekali gus dapat meningkatkan penguasaan pasaran bagi segmen pusat beli-belah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 12:02 AM